Malaysia Dateline

8 MP Kedah mohon sekolah tidak dibuka 20 Januari

Lapan ahli parlimen negeri Kedah memohon agar sessi persekolahan yang dijangka bermula pada 20 Januari ini ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga tamat tempoh PKP Bersyarat di negeri itu iaitu 26 Januari ekoran wabak Covid-19 yang semakin mengganas di negeri itu.

Dalam kenyataan bersama itu, mereka berkata, menjadi kebimbangan mereka adalah waktu persekolahan tidak boleh disamakan dengan aktiviti ekonomi atau perkara yang dimaksudkan sebagai ‘essential services’ seperti yang tertera dalam SOP PKPB yang dikemaskini pada 8 Januari 2021.

Ini kerana anak-anak akan berada di sekolah dalam tempoh yang lama dan tahap keaktifan pergerakan mereka juga berbeza serta pelbagai jika dibandingkan mereka yang berada di pasaraya atau bersukan di padang.

Situasi ini memberi kecenderungan kepada penularan wabak dengan lebih mudah jika perlaksanaan SOP tidak betul-betul ketat, kata kenyataan itu.

“Dengan ini kami memohon demi kesihatan dan keselamatan rakyat keseluruhan khususnya anak-anak di kawasan kami, Kerajaan harus mempertimbang semula keputusan membuka sesi awal persekolahan dalam tempoh PKPB.

“Kami merasakan adalah munasabah dan wajar untuk menangguhkan pembukaan awal sesi persekolahan hingga selesai tempoh PKPB yang berbaki seminggu agar justifikasi penularan wabak itu lebih jelas dengan melihat perkembangan selepas tempoh itu. Ini amat selaras dengan matlamat PKPB itu sendiri,” kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani oleh Dato’ Johari Abdul (ahli parlimen Sg Petani), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu), Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Merbok), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), Chan Ming Khai (Alor Setar), Karupaiya a/l Mutusamy (Padang Serai).

Selain itu, turut menandatanganinya adalah Dato’ Wira Hj Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Dato’ Wira Amirudin Hamzah (Kubang Pasu).

Sehingga 15 Januari semalam, Kedah telah mencatatkan 142 kes baru positif Covid-19 menjadikan jumlah kes yang masih aktif sebanyak 735 kes.
Kemunculan kluster-kluster baru melalui penularan tempatan akhir-akhir ini juga amat membimbangkan.

Kelapan-lapan mereka mengambil maklum dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membuka sesi persekolahan pada 20 Januari ini meskipun tempoh PKPB akan berakhir pada 26 Januari nanti.

“Kami juga terkesan dengan kebimbangan dan keresahan sebahagian besar ibubapa dan juga warga pendidik untuk melaksanakannya sedangkan dalam tempoh sediada ini peningkatan kes positif Covid-19 di negeri Kedah tidak menunjukkan tanda-tanda reda khususnya di kawasan yang berstatus zon merah,” kata kenyataan itu.

Katanya, tujuan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah tempoh 14 hari bagi membendung penularan wabak Covid-19, antara langkah dari kerajaan untuk memberi fokus kepada kawalan pergerakan berkaitan majlis atau perjumpaan sosial.

Memetik ucapan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), “PKPB sama dengan pelaksanaan PKP-PKP lain dan pengingkaran terhadapnya akan dikenakan hukuman yang sama di bawah Akta 342. Walau nama PKP bertukar kepada PKPB ia tetap PKP, statusnya sama”.