Malaysia Dateline

8 singa di India sah dijangkiti Covid-19

Ketika kes jangkitan Covid-19 di India melonjak, lapan singa Asia yang ditempatkan di sebuah taman zoologi diuji positif Covid-19.

Walau bagaimanapun, kerajaan negara itu dilapor berkata, tiada bukti haiwan yang menunjukkan tanda mengalami masalah pernafasan itu boleh menjangkiti manusia.

Pihak berkuasa India di wilayah selatan Hyderabad turut berkongsi sampel dengan makmal kajian kerajaan pada 24 Mac lalu selepas singa terbabit mengalami masalah pernafasan, lapor CNN.

“Berdasarkan pengalaman dengan haiwan di taman haiwan lain di dunia yang pernah positif SARS-COV2 tahun lalu, tiada bukti bahawa haiwan boleh menyebarkan virus itu kepada manusia,” kata Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim.

Susulan itu, Taman Zoologi Nehru kini sudah ditutup, menurutnya dalam satu kenyataan.

India melaporkan lebih 300,000 kes Covid-19 setiap hari selama 13 hari berturut-turut dan kini mencatatkan 20 juta kes jangkitan virus itu, kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.