Malaysia Dateline

80 anggota Kementerian Kesihatan dijangkiti Covid-19

Seramai 80 anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disahkan positif penyakit Covid-19 dengan 39 anggota daripada jumlah itu dari kluster di Hospital Teluk Intan, Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu tiada kes jangkitan anggotanya yang disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

Sehubungan itu, pihak KKM telah menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan Hospital Teluk Intan menjalani ujian pengesanan Covid-19 di hospital tersebut.

“Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan pengamal perubatan di hospital dan klinik swasta untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan sama terutama amalan penggunaan penutup mulut dan hidung (face mask) semasa mengendalikan pesakit dan menggunakan PPE yang sesuai apabila melaksanakan sebarang prosedur klinikal.

Selain Hospital Teluk Intan, lima anggota KKM terdapat di Hospital Selayang, Hospital Raja Perempuan Zainab II (4), Hospital Seri Manjong dan Hospital Tuanku Ja’far Seremban masing-masing 3 anggota manakala 2 lagi anggota KKM di Hospital Shah Alam.