Malaysia Dateline

80 MP sahaja boleh masuk sidang Dewan Rakyat empat jam sehari

Seminggu lagi Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bermula, bilangan Ahli Parlimen yang dibenarkan hadir diberitahu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan masuk bersidang bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini.

Menurut Ahli Parlimen Batu Pahat itu, hal tersebut akan diperincikan dengan Jawatankuasa Dewan Rakyat dan ketua-ketua whip parti masing-masing.

Kata pelanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kebun durian pada bulan lalu itu, ia akan diputuskan pada minggu depan sebelum Parlimen mula bersidang.

“Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama empat jam sehari bermula jam 10 pagi hingga 1 petang dan 2.30 hingga 5.30 petang. Cadangan untuk 80 ahli Parlimen sama seperti ketetapan bersidang pada tahun lepas.

“Macam tahun lepas, daripada 222 ahli Parlimen, hanya 80 sahaja yang boleh masuk. Tajuk-tajuk yang akan dibentangkan semasa sesi itu berkisar kepada isu berkait Covid-19,” katanya.

Beliau memberitahu setiap sesi persidangan dicadangkan dihadiri seramai 44 ahli Parlimen kerajaan dan 36 ahli Parlimen pembangkang.

“Setiap sesi ada 80 ahli Parlimen. Kita ada sesi pagi dan petang, mereka boleh bertukar-tukar (ikut giliran) tetapi perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Untuk rekod, hanya 77 kerusi Parlimen dimiliki blok kerajaan manakala pembangkang menguasai 143 kerusi.

Mengulas lanjut, Rashid yang juga wakil rakyat Bersatu itu berkata, ruang diberi kepada Ahli Parlimen untuk bertanya soalan.

Walau bagaimanapun, jelasnya, hanya usul mengenai persidangan secara hibrid tidak dibuat memandangkan Ahli Parlimen boleh bersidang secara biasa.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang di Johor Bahru hari ini.

Tambahnya, menteri dan timbalan menteri juga perlu mengehadkan jumlah pegawai yang mengiringi mereka kepada dua atau tiga orang sahaja.