Malaysia Dateline

80 pemerhati dipilih pantau proses PRK Kimanis

 

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, seramai 80 pemerhati pilihan raya telah dilantik melibatkan 14 organisasi agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu berkelayakan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya memilih pemerhati tersebut bertujuan memantau perjalanan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Beliau berkata, dalam PRK kali ini, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah lebih kurang 70 peratus.

“Justeru, kami berharap para pengundi dapat keluar menunaikan tanggungjawab serta tidak mensia-siakan hak dan undian mereka.

“SPR memohon semua pihak khususnya pengamal media agar turut memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi pada 18 Januari nanti.

“Pihak saya juga berharap agar aktiviti berkempen akan berjalan dengan penuh harmoni serta tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebagai makluman, PRK Kimanis akan diadakan pada 18 Januari ini bersamaan hari Sabtu yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH)- Warisan (Datuk Karim Bujang) dan Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

Dalam pada itu, Azhar turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak-pihak yang terlibat dalam proses penamaan calon hari ini.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Tuan Haji [email protected] Etok, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini.

“Terima kasih juga kepada Rohiman Rahia, Pengarah SPR Sabah dan anggota Pejabat SPR Negeri Sabah,” kata Azhar sambil menambah pihaknya akan terus melaksanakan penambahbaikan sebagaimana pada PRK-PRK sebelum ini.