Malaysia Dateline

80 peratus B40 jatuh ke B60, Anwar usul kerajaan beri bantuan RM1,500 setiap bulan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan agar kerajaan menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM1,500 kepada isi rumah yang bukan sahaja dari golongan berpendapatan rendah bawah RM4,000 (B40), tetapi juga kepada kumpulan yang sudah memasuki B60.

Beliau berkata, selagi kerajaan terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyekat pergerakan rakyat untuk mencari sumber pendapatan sendiri, kerajaan perlu bersedia menyalurkan jumlah berkenaan kepada mereka yang terjejas.

Kerana itu juga katanya, kerajaan perlu memberikan kelonggaran kepada rakyat berhubung bayaran sewaan supaya bantuan RM1,500 yang disalurkan itu dapat ditumpukan sepenuhnya kepada perbelanjaan harian.

“Kita usulkan jangan hanya beri bantuan ‘one-off’ tetapi setiap keluarga yang sudah memasuki B60 ini diberikan RM1,500 sebulan. Itu paling minima. Walaupun beban pada kerajaan, tapi ini tanggungjawab dia untuk beri makan minum pada rakyat.

“Kita percaya kerajaan ada keupayaan untuk mengagihkan langsung kepada rakyat. Sebab itu kita kena ada dasar beri kelonggaran kepada rakyat untuk bayar sewa dan ansuran pinjaman supaya wang sebanyak RM1,500 itu tertumpu hanya untuk kurangkan beban

“Penyelesaian perlu ‘direct’ dari kerajaan kepada setiap isi rumah. Sekarang ini dah 80 peratus masuk kategori B60. Kita lihat keluarga Cina juga turut memohon bantuan makanan, beras dan gula. Ini menunjukkan parah yang dihadapi telah melebar pada seluruh masyarakat dan rakyat,” tegasnya dalam satu siaran langsung di Facebooknya petang ini.

B60 difahamkan merupakan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

Pada masa sama beliau menegaskan agar kerajaan melaksanakan dasar baru yang lebih berkesan untuk membendung penularan wabak Covid-19 susulan angka kes kian meningkat dan tidak menampakkan kesan positif.