80 peratus teruja mahu mengundi, undi rosak hanya minoriti

Kempen undi rosak yang dilakukan kumpulan tertentu di media sosial dilihat tidak merencatkan keterujaan pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kelompok yang tidak berpuas hati dengan BN dan Pakatan Harapan (PH) itu hanya merupakan kumpulan minoriti.

“80 peratus rakyat teruja untuk keluar mengundi. Untuk golongan ini, 67 peratus telah membuat keputusan, 18 peratus akan membuat pilihan pada hari pengundian.

“Lagi 12 peratus selepas penamaan calon dan tiga peratus seminggu sebelum pengundian,” jelasnya ketika membentangkan analisis Survei Malaysia 2018: Kecenderungan Mengundi Menjelang PRU-14: Siapa Pilihan Rakyat Malaysia? di Shah Alam hari ini.

Menurut Dr Mohammad Redzuan, 42 peratus pengundi yang teruja untuk membuang undi menyokong BN manakala PH (41 peratus) diikuti Pas (13 peratus) dan pemilih atas pagar empat peratus.

Kajian secara bersemuka bagi melihat persepsi pengundi pelbagai kaum di Semenanjung Malaysia itu dijalankan pada 23 hingga 26 Mac lalu melibatkan 64 orang enumerator yang terdiri daripada pelajar universiti di sekitar Lembah Klang.

Kajian lapangan di seluruh negara itu meliputi 163 daripada 165 Parlimen di Semenanjung Malaysia dengan 4,720 responden daripada 12,082,430 pengundi berdaftar di wilayah tersebut.

Pemilihan responden dipilih secara rawak (random sampling) dengan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan inovasi apps IDE e-Survei dan tablet.