Malaysia Dateline

800 atlet sertai kejohanan renang para dunia di Kuching

Seramai 800 atlet dari 80 negara akan menyertai Kejohanan Renang Para Dunia (WPSC) 2019 yang akan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos tahun hadapan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah Datuk Abdul Karim Hamzah berkata  acara itu akan menyaksikan perenang para kelas dunia berkumpul selain sebagai pusingan kelayakan terakhir untuk perenang para mendapat tempat dalam Paralimpik Tokyo 2020.

“Penilaian infrastruktur dan logistik telah dikaji semula dan kerja pengubahsuaian di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, venue untuk kejohanan itu, dijangka bermula awal tahun hadapan,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran laman web untuk WPSC di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai boleh melawat laman web rasmi di https://www.wpsckuching2019.com untuk maklumat lanjut selain memudahkan peserta berkongsi dan berhubung dengan anggota keluarga dan rakan di seluruh dunia.

Abdul Karim berkata acara itu juga akan membantu merangsang dan mempromosikan sektor  pelancongan negeri ini kerana 2019 merupakan ‘Tahun Melawat Sarawak’.

Beliau berkata kementeriannya juga sedang mendapatkan kerjasama daripada pelbagai syarikat penerbangan untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus ke Kuching.

— BERNAMA