Malaysia Dateline

800 bekas pekerja kesal majikan tidak endah kebajikan selepas tutup operasi, kata KVUM

Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) meluahkan rasa kecewa terhadap kegagalan pemilik Utusan Melayu yang tidak memberi perhatian terhadap 800 bekas petugas media syarikat berkenaan.
Kenyataan yang dibuat bersama oleh bekas pekerja syarikat itu berkata, pihaknya mengesan bahawa pihak pengurusan baharu hanya berminat untuk menyelamatkan lesen Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi Ahadnya kerana kesemua ‘brand’ itu ada nilai ekonominya.
Justeru, pihaknya menggesa Kementerian Sumber Manusia meneliti sama ada tindakan syarikat berbuat demikian mengikut peruntukan Akta Pekerjaan atau sebarang akta berkaitan yang sedia ada
“Kami khuatir ia akan menjadi precedent bagi syarikat lain mencari jalan mudah bagi menyelesaikan masalah mereka.
“Tindakan pemberhentian operasi perniagaan syarikat cara ini ini akan menyelamatkan puluhan juta ringgit bagi pemilik baharu yang tidak perlu melalui proses VSS atau MSS (Mutual/Mandatory Separation Scheme),” katanya.
Tegasnya, mereka menggesa agar syarikat mengambil kira kebajikan petugas yang diberhentikan termasuk bayaran tertunggak bagi mereka yang mengambil VSS sebelum ini.
Menurutnya, para petugas turut difahamkan bahawa syarikat yang selama 81 tahun beroperasi itu tiada pilihan lain melainkan memilih untuk menutup operasi perniagaan.
“Bagaimanapun apa yang kami kesalkan ialah tindakan ini sama sekali tidak mengambil kira kepentingan petugas yang telah memberikan dedikasi dan khidmat cemerlang pada syarikat selama ini.
“Tindakan ini juga memperlihatkan kegagalan pemilik yang mengambil alih syarikat ini untuk memperbaiki keadaan serta memberi nilai tambah pada Utusan Melayu.
“Apa muslihat mengambil alih syarikat sekiranya dari awal mereka tahu mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, malah memburukan lagi keadaan?,” ujarnya
Dengan itu, mereka merayu agar syarikat Pelikuidasi Interim yang dilantik, UHY Advisory (KL) Sdn Bhd bertindak telus dengan membenarkan peguam bagi pihak petugas yang diwakili oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA) cawangan Utusan Melayu memantau penjualan asset untuk tujuan membayar hutang.
“Kami meminta agar syarikat baharu yang mengambil alih lesen penerbitan akhbar milik Utusan Melayu mengutamakan mantan wartawan Utusan sekiranya mahu memulakan penerbitan baharu,” katanya