8,000 peserta meriahkan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

8,000 peserta meriahkan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

Seramai 8,000 peserta memeriahkan perarakan kontinjen sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Seawal jam 7 pagi lagi, peserta dilihat mula tiba sebagai persediaan untuk berarak sejauh satu kilometer bermula dari Stesen LRT Bukit Jalil sehingga ke Axiata Arena.

Penyertaan daripada kakitangan Kementerian Industri Utama

Difahamkan, peserta-peserta yang dilepaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid itu terdiri daripada kontinjen agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga agensi swasta.

Lebih menarik lagi, acara perarakan yang diketuai oleh Dr Mujahid itu sendiri turut melibatkan kontinjen VIP, antaranya Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Pengarah Jabatan dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Berkaitan Kerajaan.

Kakitangan di Kementerian Tenaga Sains Teknologi dan Alam Sekitar & Perubahan Iklim

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, tema yang dipilih pada sambutan kali ini adalah ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’.

Katanya, Islam merupakan agama rahmah yang mengajak manusia untuk saling menghormati, berkasih sayang, bertoleransi dan saling memaafkan.

“Kasih sayang yang dianjurkan Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah yang ditekankan dalam al-Quran. Konsep Rahmatan Lil Alamin yang dibawa oleh Baginda SAW ini merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang dan bersangka baik.

“Dengan sifat rahmah, persengketaan dapat dileraikan dan kekusutan pula dapat dirungkaikan serta masyarakat dapat mencapai keharmonian dan kesejahteraan.

“Sifat rahmah adalah bukti ketinggian akhlak dan keperibadian unggul sesebuah masyarakat. Semoga dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim, Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan negara bukan Islam sedunia,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Sementara itu, dalam majlis sama, johan pertandingan perarakan bagi peringkat kementerian dimenangi oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli di tempat kedua dan Kementerian Pertahanan (ketiga).

Bagi kategori Jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pula, Jabatan Audit Negara mengungguli kategori tersebut dengan menjadi johan, manakala naib johan milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Bahagian Pengurusan Hartanah JPM (ketiga).

Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan dalam perarakan kali ini termasuk Kategori Jabatan di Bawah Kementerian; Agensi di Bawah YB Menteri di JPM; Badan Beruniform; Badan Berkanun dan juga Kategori Swasta.