813 buah rumah mampu milik akan dibina di Kemuyang

813 buah rumah mampu milik akan dibina di Kemuyang

Sarawak akan membina sebanyak 813 unit rumah mampu milik jenis Spektra di Kemuyang dekat sini yang berharga antara RM90,000 hingga RM120,000 bagi golongan berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah mulai Mei ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebagai permulaan, Sarawak Housing Development Corporation (HDC) akan membina 86 unit rumah bertiang dan atas tanah manakala Land Custody Development Authority (LCDA) membina 76 rumah bertiang, semuanya dijangka siap pada 2020.

Menurutnya rumah berkenaan akan dilengkapi kemudahan infrastruktur termasuk laluan akses baharu ke pusat bandar yang lebih dekat.

Katanya rumah bertiang dibina dengan keluasan 78.97 meter persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan ruang tamu.

“Kos menyediakan kemudahan infrastruktur seperti kerja-kerja menembok, membina jalan, sistem perparitan dan bekalan elektrik ditanggung oleh kerajaan negeri. Pembeli hanya membayar harga rumah sahaja dan mereka boleh membesarkan rumah itu pada masa akan datang mengikut kemampuan masing-masing.

“Kalau mengikut harga pasaran termasuk kos menyediakan kemudahan infrastruktur harga rumah itu dijual sekurang-kurangnya RM230,000 seunit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke projek perumahan Kemuyang semalam.

Beliau berkata generasi kedua penduduk Kampung Datuk iaitu perkampungan Melayu tertua di bandar ini yang berpendapatan bulanan RM3,000 layak membeli rumah berkenaan melalui pinjaman perumahan yang disediakan oleh Mutiara Mortgage and Finance.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri akan membina projek perumahan serupa di Kampung Tian, Matu dan Igan dalam Bahagian Mukah.

Sebanyak 2,500 unit rumah sama akan dibina di seluruh negeri ini.

Sementara itu Abang Johari berkata, Kampung Datuk yang terletak di tepi Sungai Igan akan dibangunkan sama seperti Kampung Darul Hanna di Kuching di mana tiada pemindahan penduduk dibuat dan kampung akan mempunyai landskap dan prasarana moden.

— BERNAMA