SADA buat persediaan hadapi gangguan air pada Hari Raya Aidiladha

SADA buat persediaan hadapi gangguan air pada Hari Raya Aidiladha
– Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengambil beberapa langkah persediaan awal bagi mengurangkan masalah gangguan bekalan air di negeri ini yang dijangka berlaku menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada 11 dan 12 Ogos ini.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata penggunaan air pada musim perayaan itu dijangka meningkat sebanyak 30 peratus berbanding hari biasa, sekali gus akan menyebabkan berlaku tekanan air rendah kepada pengguna di sesetengah kawasan.

“Antara langkah-langkah yang diambil ialah mengenal pasti kawasan-kawasan yang dijangka menghadapi masalah semasa musim perayaan Aidiladha 2019 akan datang dengan mengambil kira post-mortem yang dijalankan pada musim perayaan Aidiladha 2018 yang lepas.

“SADA juga memastikan semua aset-aset logistik berada dalam keadaan terbaik dan sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa selain memastikan semua peralatan-peralatan mekanikal dan elektrikal serta stok semasa bahan kimia di loji-loji rawatan air SADA berada dalam keadaan baik dan mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, SADA juga melakukan penambahbaikan kepada sistem agihan air dengan membuat agihan semula bekalan dari kawasan-kawasan lain yang bersempadanan dengan kawasan bermasalah, memasang pam penggalak, penggantian injap-injap utama dan menyelenggara injap udara.

Selain itu, Ahmad Hakimi berkata SADA akan menjalankan aktiviti menakung tangki-tangki simpanan bagi meningkatkan paras tangki pada malam hari untuk digunakan pada keesokan harinya di kawasan-kawasan yang menghadapi masalah.

“SADA juga telah membuat penambahan lori bantuan bekalan air berkapasiti rendah secara sewaan dan juga sewaan lori-lori tangki berkapasiti besar dalam melancarkan keberkesanan proses penghantaran air ke kawasan-kawasan yang terjejas,” katanya.

Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat atau membuat aduan berkaitan masalah air boleh terus menghubungi Pusat Informasi SADA di 1300-88-0017 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat SADA di talian 04-7408976.

“Pengguna juga diminta berjimat cermat dan menggunakan air dengan bijaksana,” katanya.– BERNAMA