Presiden Indonesia tiba untuk lawatan rasmi dua hari

Presiden Indonesia tiba untuk lawatan rasmi dua hari
Presiden Indonesia, Joko Widodo dan isteri Iriana Joko Widodo tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.?Turut mengiringi, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu serta isteri Normah Alwi.

Presiden Indonesian Joko Widodo, tiba di Sepang malam tadi  iuntuk memulakan lawatan rasmi dua hari di Malaysia.

Pesawat khas dari Bali yang membawa Presiden Indonesia yang dikenali ramai dengan nama Jokowi, bersama dengan isterinya Iriana Joko Widodo, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.50 malam.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyambut ketibaan Jokowi di Kompleks Bunga Raya, dan turut hadir di Kompleks itu ialah Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana.

Jokowi dan isteri kelihatan segak dengan pakaian tradisional Bali berwarna merah manggis.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Jokowi selepas dilantik semula bagi penggal kedua pada Pilihanraya Presiden 17 April lepas.

Lawatan itu dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia.

Acara sambutan rasmi akan berlangsung pagi esok di Dataran Perdana, di susuli dengan mesyuarat antara Jokowi dengan Perdana Menteri Tun DR Mahathir Mohamad bagi membincangkan isu-isu serta kerjasama dua hala, di samping saling bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

— BERNAMA