Malaysia Dateline

8,209 kes baharu, naik tiga hari berturutan

Sebanyak 8,209 kes baharu Covid-19 dilaporkan sekali gus menyaksikan kenaikan kes harian tiga hari berturut-turut.

Pertambahan kes pada hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negara ini sebanyak 595,374 kes.

Selangor mencatatkan angka tertinggi dengan 3,125 kes diikuti Kuala Lumpur (801) dan Johor 752 kes.

Bagi Pantai Timur Semenanjung, Kelantan merekodkan jangkitan tertinggi iaitu 414 kes manakala Pahang 135 kes dan Terengganu 127 kes.

Di Malaysia Timur pula, Sarawak di tangga teratas dengan 594 kes manakala Sabah dan Labuan masing-masing 203 dan 62 kes.

Selain Labuan, dua lagi negeri yang mencatatkan bilangan jangkitan kurang tiga angka ialah Putrajaya (33 kes) dan Perlis lima kes.

Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Twitter memaklumkan 80 peratus kes jangkitan Covid-19 membabitkan kes sporadik.

“Ini menandakan telah berlaku penularan jangkitan secara meluas dalam komuniti,” katanya.

Kes sporadik juga merupkan kes yang tidak diketahui punca jangkitan dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster.

Sehubungan itu, KKM mengulangi nasihatnya agar orang ramai melindungi diri dan keluarga dengan kekal duduk di rumah.

“Keluar hanya perlu dengan mematuhi SOP sepenuhnya,” tegas KKM lagi.