83 syarikat tempatan raih jualan bernilai RM110 juta di SDSI, kata Mustapa

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Sebanyak 83 syarikat tempatan berjaya meraih jualan bernilai RM110 juta melalui ‘Meet Buyers Programme’ pada Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Ke-10 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata program yang berlangsung selama empat hari mulai Khamis lepas itu melibatkan 21 syarikat yang merupakan pembeli berpotensi bagi produk makanan dan minuman serta kesihatan dan kecantikan.

Katanya syarikat itu antaranya dari Hong Kong, China, Myanmar, Afrika Selatan, Indonesia, Arab Saudi, Filipina dan Thailand.

“Langkah ini untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa dan membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menembusi perniagaan di peringkat global.

“Kerajaan sentiasa melonjakkan pencapaian usahawan Bumiputera di luar bandar untuk menguasai pasaran dunia dan pencapaian jualan RM110 juta ini adalah sesuatu yang patut dibanggakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran SDSI peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan.

Mustapa berkata kerajaan sentiasa menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) menceburi bidang jualan dalam talian atau e-perdagangan untuk memasarkan produk keluaran mereka secara lebih meluas terutamanya di peringkat antarabangsa.

Katanya kerajaan telah menubuhkan Majlis e-Perdagangan Nasional untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai pengusaha IKS dalam medium jualan tersebut.

“Medium jualan dalam talian mampu meningkatkan jualan produk pengusaha IKS sekaligus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya setakat ini, sumbangan kepada KDNK negara melalui perniagaan dalam talian hanya lima peratus, jauh lebih rendah berbanding negara lain, Amerika Syarikat (50 peratus) dan China (20 peratus).

Mengenai penyertaan syarikat pada SDSI kali ini, Mustapa berkata jumlahnya meningkat kepada 471 berbanding 419 syarikat pada tahun lepas dengan 24 buah syarikat dari negara lain seperti Kemboja (13), Filipina (10) dan India (1).

“Kita menjangka hasil jualan daripada Pameran SDSI pada kali ini mampu ditingkatkan berbanding tahun lepas sebanyak 11 juta,” katanya.

CATEGORIES
TAGS