839 anggota polis bertugas sempena sambutan Hari Malaysia di Sarawak

839 anggota polis bertugas sempena sambutan Hari Malaysia di Sarawak

Seramai 839 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di Stadium Perpaduan dan sekitar pusat bandar raya Sarawak sempena sambutan Hari Malaysia, Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata turut terlibat pasukan daripada Unit Tempur Ringan (LSF) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU).

“Selain itu, dua pusat kawalan akan dibuka iaitu di Ibu Pejabat Polis Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak,” katanya.

Awang Din turut menasihatkan orang awam yang hadir menyaksikan sambutan itu supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

“Kalau kita cintakan negara kita, cintakan keamanan dan ketenteraman jangan timbulkan sebarang kekecohan yang boleh menjejaskan kelancaran program itu berlangsung,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia yang pada mulanya dirancang berlangsung di Padang Merdeka di tengah pusat bandar ini, telah dipindahkan ke Stadium Perpaduan susulan jerebu yang melanda negeri ini.