Malaysia Dateline

Yadim terima kunjungan Zakir Naik

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerima kunjungan muhibah daripada pakar dan penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik ke ibu pejabatnya pada Rabu.

Dalam kunjungan selama sejam bermula jam 8.30 pagi itu, Yadim yang diwakili Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Ab Aziz bertukar pandangan dengan pendakwah antarabangsa dari India itu, mengenai pelbagai perkara, terutamanya isu semasa dan bidang dakwah.

Turut sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Kamarul Arief Tuan Soh, Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Mohamad Raimi Ab. Rahim dan Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia, Datuk Dr Abdul Halim Yusuf.

Dalam pertemuan itu, kedua pihak bersetuju kaedah terbaik untuk berdakwah pada ketika ini ialah menerusi pendekatan rahmah dengan saling menyantuni dan mencari titik persamaan serta mengelak permusuhan atau perpecahan.

Yadim dan Zakir Naik juga bersetuju, bahawa dalam berdakwah, hak hak orang bukan Islam mesti ditunaikan manakala hak orang Islam hendaklah dipertahankan.