8,462 jemaah haji Thailand ke Tanah Suci tahun ini

8,462 jemaah haji Thailand ke Tanah Suci tahun ini

Seramai 8,462 jemaah haji Thailand akan mengerjakan haji di Tanah Suci tahun ini, kata Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Anucha Mokkavet hari ini.

Daripada jumlah itu, beliau berkata seramai 3,892 haji dari tiga wilayah selatan Thailand – Narathiwat, Pattani, Yala.

Beliau berkata kumpulan pertama seramai 289 jemaah haji berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan khas Thai Airways dari Lapangan Terbang Narathiwat pada 10.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

“Sebanyak sembilan penerbangan khas Thai Airways akan membawa 2,061 jemaah haji dari Lapangan Terbang Narathiwat, bermula hari ini hingga 8 Julai,” katanya pada majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji di Lapangan Terbang Narathiwat hari ini.

Majlis pelepasan itu disempurnakan Anucha. Hadir sama ialah Gabenor Wilayah Narathiwat Akkarat Lesen dan Penasihat Pejabat Sheikhul Islam Thailand Arun Boonchom dan Presiden dan Pengarah Thai Airways International Public Company Limited, Sumeth Damrongchaitham.

Sementara itu, Akkarat berkata tahun ini adalah tahun ke-7 yang Lapangan Terbang Narathiwat memberi kemudahan penerbangan khas untuk membawa jemaah haji dari selatan Thailand.

“Sebelum ini semua jamaah haji berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, atau melalui Lapagan Terbang Hatyai yang mana ia akan menambah kos para jemaah haji dari Narathiwat, Yala dan Pattani.

“Sehubungan itu, kerajaan menggunakan penerbangan khas Thai Airways untuk membawa jemaah dari tiga wilayah di selatan Thailand,” katanya.

Sementara itu, Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan turut menaja seramai 140 fakir miskin, pemimpin dan pegawai kerajaan untuk mengerjakan haji pada tahun ini.– BERNAMA