Syarikat Bumiputera digesa sahut cabaran ceburi ekonomi berasaskan permintaan

Syarikat Bumiputera digesa sahut cabaran ceburi ekonomi berasaskan permintaan

Syarikat Bumiputera digesa untuk menceburi bidang ekonomi berasaskan permintaan, khususnya dalam sektor produk dan perkhidmatan berasaskan pengguna, berikutan kontrak dan perniagaan kerajaan hanya menyumbang kurang 15 peratus daripada ekonomi.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata ketika ini, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan hanya merupakan sebahagian kecil daripada ekonomi.

“Ekonomi Malaysia, sepertimana kebanyakan ekonomi lain, telah beralih ke arah menjadi ekonomi pengguna dan perkhidmatan berasaskan permintaan daripada yang dipacu oleh kontrak dan pembekalan kerajaan, dan saya fikir aspek inilah yang kita perlu kaji, dan saya percaya ia menjadi tumpuan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030,” katanya kepada pemberita pada Forum Megatrends Khazanah 2019,  hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas usaha kerajaan untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera di bawah WKB2030, yang dilancarkan Sabtu lepas.

WKB2030 ialah kerangka untuk mewujudkan kekayaan dan kemakmuran untuk negara yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat Malaysia dalam iklim ekonomi yang tidak menentu.

Shahril Ridza berkata, ketika ini 85 peratus daripada ekonomi Malaysia akan memberi tumpuan kepada permintaan luar negara dan permintaan pengguna dalam negara.

Sementara itu, mengenai PLUS Malaysia Bhd, beliau berkata akan berlaku “bencana moral yang besar” untuk meletakkan konsesi lebuhraya terbesar negara ke dalam tangan sektor swasta, menegaskan syarikat itu merupakan aset strategik penting negara.

“Ia adalah aset, lebih-lebih lagi, saya fikir sukar untuk membayangkan keadaannya jika diserahkan kepada swasta, terutama sekali jika banyak tawaran yang datang adalah daripada entiti swasta yang hanya mahu mengambil alih aset itu pada diskaun murah dan masih meminta kerajaan menjamin mereka, dan saya fikir itu ia bencana moral yang besar untuk membiarkan entiti swasta memegang aset strategik itu dengan sokongan jaminan kerajaan.

“Saya fikir pada asasnya ia selari dengan pandangan bahawa ia adalah aset strategik dan lebuhraya PLUS sepatutnya terus kekal menjadi milik rakyat Malaysia,” katanya.

Cabang strategik kerajaan itu, yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS, dilaporkan telah menolak semua tawaran pengambilalihan yang diterimanya daripada entiti swasta tempatan dan asing.– BERNAMA