865 keluarga di 45 pusat pemindahan, laluan Labis-Segamat terputus hubungan

865 keluarga di 45 pusat pemindahan, laluan Labis-Segamat terputus hubungan

Seramai 3,226 mangsa melibatkan 865 keluarga masih berada di 45 buah pusat pemindahan sementara di Johor hari ini.

Pengerusi Amanah Negeri Johor Aminolhuda Hassan berkata, hujan yang berterusan hari ini sejak awal pagi mengakibatkan laluan Labis ke Segamat terputus hubungan.

Beliau yang turut turun padang petang ini bersama Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub  berkata laluan di kedua arah dinaiki air banjir.

“Dijangka keadaan akan lebih serius ekoran hujan lebat yang berterusan.Terdapat ratusan kenderaan tidak dapat bergerak.

“Saya sempat singgah di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Batu Enam Segamat bertemu dengan mangsa dan memberi sedikit sumbangan kepada mereka.

“Semoga mangsa banjir di Segamat dan seluruh negeri Johor dapat bersabar dengan musibah ini. Amanah Johor sedia membantu mereka yang memerluka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bernama pula melaporkan daerah yang terjejas adalah Segamat, Kota Tinggi, Tangkak, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Mersing.

Sehingga 6.30 petang tadi, 29 pusat pemindahan dibuka di Segamat dengan 1,840 mangsa; Kota Tinggi (1,006 mangsa di lima pusat pemindahan); Tangkak (105 orang di tiga pusat pemindahan) dan Johor Bahru (95 orang di tiga pusat pemindahan).

Tiga pusat pemindahan di daerah Kluang menempatkan 67 mangsa serta sebuah pusat pemindahan di Mersing menempatkan 113 orang, manakala sebuah pusat pemindahan telah ditutup di daerah Batu Pahat.

Tiga klinik desa di Segamat terpaksa ditutup iaitu Klinik Desa Kampung Jawa, Klinik Desa Kampung Jabi dan Klinik Desa Kampung Tengah kerana dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, perkhidmatan ketiga-tiga klinik desa tersebut telah dipindahkan ke klinik kesihatan berhampiran.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut dilaporkan melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Muar berkata, kerajaan negeri serta agensi terlibat akan memastikan bantuan disampaikan dengan lancar kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan.

“Mengikut ramalan dikeluarkan agensi berkaitan, mangsa banjir tidak perlu berada lama di pusat pemindahan kerana hujan dijangka berhenti dan air akan mula surut dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Johor, Shaharudin Sharif berkata 13 buah sekolah di Segamat dan sebuah sekolah di Mersing terpaksa ditutup hari ini disebabkan terputus hubungan serta dinaiki air.

Sekolah yang terlibat di Segamat antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah; SK Segamat Kechil; SK Melayu Raya; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Centrel Site; SJKC Ladang Voules; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Gomali, SJKT Ladang Segamat dan SJKT Sungai Muar serta SK Peta, Mersing.

Salahuddin Ayub turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Segamat petang ini.

 

TAGS