Jemputan Astora Jabat di luar pengetahuan, pihak IPT perlu beri penjelasan, kata Asmuni

Jemputan Astora Jabat di luar pengetahuan, pihak IPT perlu beri penjelasan, kata Asmuni
Asmuni Awi

Tindakan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini yang menjemput penulis kontroversi, Astora Jabat menyampaikan ucapan dalam sebuah program baru-baru ini, adalah di luar pengetahuan kerajaan Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak Asmuni Awi berkata pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) serta Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) juga tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan IPT mengenai jemputan itu.

Astora Jabat

“Saya mendapat tahu mengenai perkara itu selepas isu itu tular di media sosial dan saya ada bertanya kepada persatuan akademik IPT tersebut dan ternyata mereka pun tidak tahu menahu mengenai jemputan Astora ke IPT berkenaan.

“Saya mahu TNC (Timbalan Naib Canselor) IPT tersebut bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung isu tersebut,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat negeri Perak tahun 2019 yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata pihaknya akan menemui pengurusan IPT terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.

“Kita sudah menyatakan sebarang ceramah agama mestilah mereka yang ada tauliah, kalau tidak ada tauliah mesti ada kebenaran dan permohonan yang diluluskan (pihak berkaitan) barulah dia boleh sampaikan sesuatu ceramah atau ucapan.

“Saya minta semua pihak termasuk institusi pendidikan supaya menghormati peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa fatwa supaya ia dilihat tidak bercelaru,” katanya.

Semalam, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dalam satu kenyataan menyifatkan jemputan Astora itu satu tindakan tidak teliti dan menunjukkan sikap tidak menghormati institusi fatwa yang telah mengeluarkan keputusan terhadap penulisan individu itu berkenaan azab kubur.

Menerusi warta kerajaan bertarikh 29 Julai 2004, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke 161 pada 17 Disember 2003 telah bersetuju untuk menolak kepercayaan azab kubur setelah wujud keterangan dari al-Quran dan sunah serta ijma ulama adalah terkeluar daripada ajaran Islam.– BERNAMA