88 peratus rakyat Malaysia jadi pengguna digital, kadar tertinggi di Asia Tenggara

Oleh ARIF ATAN

Malaysia menjadi negara dengan kadar pengguna digital tertinggi di rantau Asia Tenggara, apabila krisis Covid-19 mencetuskan lonjakan ketara dalam gaya hidup digital.

Pengurus Negara Facebook bagi Malaysia, Nicole Tan, berkata Malaysia mendahului negara lain di rantau ini dengan 88 peratus atau 22 juta rakyatnya menjadi pengguna digital.

Pada masa sama, beliau berkata, ekonomi digital di negara ini dijangka terus berkembang kerana transformasi digital kekal melangkaui tempoh pandemik, lapor BH.

Malah, katanya berdasarkan perkembangan semasa, pengguna digital Malaysia dijangka kekal tinggi dan terus melonjak kepada 90 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Malaysia mempunyai nisbah pengguna digital tertinggi di Asia Tenggara, iaitu 88 peratus berbanding purata enam negara lain, iaitu 78 peratus, sekali gus menunjukkan penembusan runcit digital yang tinggi di pasaran.

“Menjelang akhir tahun ini, dijangka penambahan lebih sejuta lagi pengguna digital di negara ini akan berlaku dan lonjakan ini disebabkan ramai orang mengasimilasikan gaya hidup bekerja dari rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu,” jelasnya.