Malaysia Dateline

89 kes positif COVID-19, dua kematian hari ini

Kes positif COVID-19 hari ini mencatat sedikit penurunan kepada 89 kes baharu dengan dua kematian setakat jam 12 tengah hari.

Daripada jumlah kes baru itu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 86 adalah penularan tempatan membabitkan 84 warganegara dan 2 kes bukan warganegara, serta tiga kes import yang semua mereka adalah bukan warganegara.

Tambahnya, dengan pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini adalah 11,114 kes.

Katanya, sementara kes aktif kebolehjangkitan ialah 1,124 kes manakala terdapat 28 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah 9,967 kes.

“Daripada 86 kes penularan di dalam negara, 84 kes adalah warganegara Malaysia dan dua kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 86 kes tersebut juga, sebanyak 25 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 88 kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah 16 dengan tiga daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan pertambahan dua kematian hari ini beliau berkata, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 136 kes atau 1.21 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, Sabah terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 35 kes positif baru diikuti oleh Kedah 13 kes, Selangor (10), Johor (8) dan Kuala Lumpur (6).