Penyusutan eksport Malaysia akibat kelemahan permintaan global

Penyusutan eksport Malaysia akibat kelemahan permintaan global

Eksport Malaysia yang susut 6.8 peratus tahun ke tahun pada September, penurunan tertinggi sejak Oktober 2016 adalah sebahagian daripada kelemahan dalam permintaan global yang memberi kesan kepada seluruh dunia, menurut pakar ekonomi.

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini berkata eksport Malaysia susut 6.8 peratus tahun ke tahun kepada RM77.7 bilion manakala import berkembang 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM69.4 bilion.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor luaran Malaysia turut tidak terkecuali daripada perkembangan global.

“Indeks Institut Pengurusan Bekalan Amerika Syarikat (AS) bagi sektor pembuatan berada di bawah garis had 50 mata untuk tiga bulan berturut-turut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, beliau berkata data penyata gaji bukan ladang AS berada pada purata 167,000 sebulan antara Januari dan Oktober, lebih rendah berbanding purata bulanan 223,000 pada 2018.

“Sehubungan itu, ekonomi AS juga tidak begitu berkembang pada kadar kukuh. Malah, petunjuk berlakunya kelembapan telah mula wujud,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata prestasi eksport di Asia turut lemah dengan penyusutan Eksport Domestik Bukan Minyak Singapura merosot 8.1 peratus pada September dan lemah sejak Mac tahun ini.

Beliau berkata eksport terkini Korea Selatan pada Oktober turut merosot sebanyak 14.7 peratus dan mengalami penurunan sejak Disember tahun lepas.

“Oleh itu, pertumbuhan eksport nominal Malaysia pada 2019 mungkin rendah dan faktor asas yang tinggi juga menunjukkan eksport Oktober dijangka kekal lemah,” kata Mohd Afzanizam.

Mengulas kaedah menangani isu prestasi perdagangan yang lemah, Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Fakulti Perniagaan Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan boleh melaksanakan beberapa langkah sama ada di peringkat luaran atau dalaman.

Di peringkat luaran, kerajaan akan meningkatkan perjanjian perdagangan dua hala bagi menggalakkan pedagangan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata halangan perdagangan seperti tarif atau kuota import boleh diatasi dengan menggalakkan import dan eksport bagi kedua-dua negara.

“Sementara itu, di peringkat dalaman, kerajaan mesti meneruskan usaha meningkatkan produktiviti syarikat-syarikat domestik, selain mendorong mereka menjadi pengeksport dengan membantu daripada segi pembiayaan dan memudahkan libat urus eksport,” kata Ahmed Razman.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam kenyataan berkata penguncupan eksport Malaysia itu mencecah hampir pada kadar paling rendah dalam tempoh tiga tahun.

Pertumbuhan negatif bagi bulan kedua berturut-turut itu adalah disebabkan prestasi lemah di semua sektor utama.

Eksport pengeluaran yang menyumbang kira-kira 85 peratus daripada jumlah eksport, menyusut 5.8 peratus tahun ke tahun.

Selain itu, eksport produk pertanian dan barangan perlombongan masing-masing merosot 15.2 peratus tahun ke tahun dan 8.3 peratus tahun ke tahun

Firma penyelidikan itu berkata, 2019 adalah tahun penyusutan bagi eksport dan import berikutan pada sembilan bulan pertama tahun ini, pertumbuhan eksport adalah pada kadar purata -1.1 peratus tahun ke tahun.

Daripada segi nilai mutlak, purata bulanan pada 2019 setakat ini adalah RM80.9 bilion, masih rendah berbanding RM83.7 bilion pada 2018.

MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan eksport yang terus menyusut pada Oktober 2019 susulan faktor kesan asas tinggi.

“Di samping itu, pengurangan import barangan modal dan barangan pengantara menunjukkan prospek yang lemah bagi eksport akan datang,” katanya.

Sejajar dengan jangkaan itu, pertumbuhan eksport bagi suku ketiga 2019 mencatat pertumbuhan negatif 1.9 peratus tahun ke tahun (suku kedua 2019: -0.4 peratus tahun ke tahun).

“Menjelang suku ketiga 2019, prestasi eksport dijangka lebih terdedah terutamanya dalam ketidaktentuan ke atas pertelingkahan perdagangan yang tidak menentu.

“Kesan asas lebih tinggi khususnya pada Oktober 2018, akan mendorong prestasi keseluruhan pada suku keempat 2019,” katanya dan menurutnya unjuran bagi suku keempat 2019 akan suram.

Bagaimanapun, MIDF menjangka produk sektor berasaskan komoditi khususnya eksport gas asli cecair akan mengimbangi impak kurang baik akibat perang perdagangan bagi separuh kedua 2019.

“Dengan perdagangan global yang perlahan akibat daripada peningkatan perlindungan dan kehilangan momentum bagi beberapa ekonomi utama khususnya Eropah, kami tidak menjangka sebarang kemunculan kukuh pada separuh kedua 2019,” kata MIDF Research.

Sementara itu, RHB Research berkata pertumbuhan eksport dijangka terus berkurangan kepada 1.5 peratus pada 2020, daripada 2.2 peratus yang dianggarkan pada 2019.

“Peningkatan dalam jualan semikonduktor global boleh menjadi faktor ke arah pemulihan dalam sektor elektrik dan elektronik.

“Bagaimanapun, perang perdagangan yang berterusan antara AS-China akan terus memberi risiko penurunan,” katanya dalam satu nota.

— BERNAMA