Moon gesa agensi berita Asia Pasifik sokongan proses perdamaian Korea

Moon gesa agensi berita Asia Pasifik sokongan proses perdamaian Korea
Presiden Korea Selatan Moon Jae-in- Foto AP

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in menggesa agensi berita di rantau Asia Pasifik supaya memberi perhatian dan sokongan berterusan ke arah penyelesaian konflik Korea yang berpanjangan.

“Keamanan di Semenanjung Korea adalah titik permulaan untuk mencapai perdamaian bagi komuniti berkongsi kemakmuran,” katanya ketika mengalu-alukan pemimpin 32 agensi berita dari 28 di Blue House (Pejabat Presiden Korea) di sini pada Khamis.

Delegasi itu menghadiri Perhimpunan Agung ke-17 Pertubuhan Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) yang bermula di Seoul pada Khamis.

“Masih ada banyak halangan untuk diatasi, (bagaimanapun) keamanan adalah caranya (kita) mesti usahakan bukan sahaja bagi Korea dan Timur Tengah, tetapi juga bagi seluruh dunia,” menurut Yonhap, agensi berita tuan rumah, yang memetik Moon sebagai berkata, semasa pertemuan itu.

Proses perdamaian Korea 2018-19 dimulakan untuk menyelesaikan konflik dan menghentikan program nuklear di Semenanjung Korea dengan beberapa siri sidang kemuncak diadakan antara pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, Presiden Moon Jae-in dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Presiden OANA Aslan Aslanov, daripada Azertac, agensi berita rasmi Azerbaijan, berkata sebagai wartawan, anggota OANA mengikuti setiap perkembangan di Semenanjung Korea menerusi agensi berita Yonhap.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada Presiden Moon dalam proses perdamaian itu, dan berkata OANA juga komited ke arah perdamaian dan persefahaman antara negara.

Sergei Mikhailov, ketua agensi berita TASS, berkata perdamaian di Semenanjung Korea penting kepada keamanan dan kestabilan di dunia.

OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif UNESCO untuk melancarkan pertukaran berita secara langsung dan percuma antara agensi berita di rantau ini.

Yonhap, yang menganjurkan perhimpunan agung yang sedang berlangsung, dijadual menjadi pengerusi OANA bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam ucapannya pada perasmian perhimpunan agung itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Yonhap CEO Cho Sung-boo berkata agensi berita di seluruh dunia berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dan yang mesti diubah agar menjadi peluang baharu.

“Kecerdasan buatan, realiti maya dan pembelajaran mesin telah memasuki bilik berita kita sambil kemajuan teknologi semakin meningkat,” katanya.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain mewakili Pertubuhan Berita Nasional Malaysia pada perhimpunan agung itu yang bertemakan ‘New Challenges for Journalism: Technological Innovations and Issues of Trust.’

— BERNAMA