Malaysia Dateline

9 Adun AMANAH Johor tandatangan SD, tiada Adun belot

Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor hari ni mengeluarkan kenyataan taat setia kepada Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi AMANAH  Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sembilan Adun AMANAH Johor telah menandatangani akuan bersumpah (SD) tersebut telah ditandatangani pada Isnin lalu.

Katanya, Amanah Johor turut menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri negara ini.

“Kesemua sembilan Adun Amanah termasuk Speaker Dun, Suhaizan Kaiat telah menandatangani SD untuk setia bersama PH.

“Saya yakin tidak ada yang langgar, kerana kita yakin kerajaan PH akan terus berkuasa di peringkat pusat dan negeri,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat dan Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhammad Taqiuddin Cheman.

Tambah Aminolhuda, kenyataan dibuat Adun  Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad bahawa terdapat Adun daripada Amanah Johor akan melompat adalah satu tindakan terdesak dan berbentuk provokasi.

“Amanah Johor menafikan kenyataan Adun Benut. Kenyataan itu satu usaha pihak terdesak yang mahu mengambil kesempatan dalam situasi politik semasa.

“Ini satu provokasi untuk memecah belah PH, saya berbangga dengan Adun PH yg terus bersama PH, ini satu komitmen kepada mandat diberikan rakyat,” ujarnya.

Aminolhuda bagaimanapun tidak menafikan terdapat percubaan tawar menawar dibuat terhadap pihaknya namun beliau tetap yakin Amanah Johor memegang prinsip dalam menubuhkan kerajaan yang mementingkan ketenteraman rakyat.

Semalam wujud kekeliruan di mana terdapat dua Adun AMANAH Johor yang dikatakan akan memihak kepada pembentukkan kerajaan baharu yang dinyatakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Ir Hasni Mohammad.