
9 bayi baharu lahir dalam Dun Permatang Pasir disantuni menerusi Ziarah Permata
Memberi khidmat kepada pengundi dan masyarakat dalam kawasan Dun Permatang Pasir, imerupakan rutin tetap buat Faiz Fadzil sejak memenangi pilihan raya umum pada Mei tahun lalu sehinggalah kini.
Boleh dikatakan rutin turun padang, peduli rakyat dan kini Ziarah Permata menjadi salah satu agenda utama yang telah dipraktikkannya bagi kawasan Dun Permatang Pasir.
Semalam, sepanjang hari Faiz telah menziarahi dan menyantuni sembilan bayi yang baru dilahirkan bagi kawasan yang diwakili beliau.
Beliau juga turut menyumbangkan beberapa keperluan bayi kepada keluarga yang disantuni bagi meringankan beban mereka.

Faiz menyampaikan sumbangan yang berupakan keperluan bayi semasa menziarahi salah seorang bayi yang baru dilahirkan dalam Dun Permatang Pasir.
Kata beliau, dengan mendekati bayi-bayi yang baharu dilahirkan, ia turut menjalinkan silaturahim serta kepedulian terhadap keluarga yang baharu menimang cahaya mata.
“Pemuda AMANAH Permatang Pauh dengan kerjasama Briged Wanita Permatang Pasir meraikan kesemua sembilan bayi yang baharu lahir sempena program ‘Ziarah Permata’.
“Kehadiran cahaya mata baru tersebut amat penting bagi memastikan kelestarian kemakmuran khususnya bagi Dun Permatang Pasir.
“Program sebegini mampu mendekatkan diri serta kepedulian terhadap setiap keluarga tersebut di samping cuba untuk membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan yang mungkin ada,” ujarnya lagi.
Faiz turut memberi perhatian terhadap keperluan keluarga daif dan miskin serta orang kurang upaya dan warga emas.
Selain itu beliau juga kerap melawat pelbagai agensi kerajaan negeri dan pusat serta insitusi pendidikan dan kesihatan yang ada dalam kawasan Dun Permatang Pasir.
Secara tidak langsung tambahnya, rutin ini memperlihatkan kesungguhan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan perjuangan membela nasib rakyat secara berterusan dan tidak berkala atau bermusim.