Malaysia Dateline

9 daerah di Malaysia hampiri zon merah

Sembilan daerah dalam kategori zon jingga mencatat lebih 30 kes positif Covid-19 sekali gus menghampiri zon merah dengan 41 kes dan ke atas.

Mengikut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), enam kawasan tersebut terletak di pantai barat Semenanjung, pantai timur (1) manakala dua lagi di Sabah.

Setakat 12 tengah hari semalam, Muar mencatatkan 40 kes manakala Seberang Perai Tengah dan Lahad Datu masing-masing 38 kes.

Kota Kinabalu dan Kuala Muda pula berkongsi 35 kes diikuti Dungun (33), Kulai (32), Kuala Selangor (31) dan Timur Laut (30).

Lembah Pantai terus menjadi pusat serangan Covid-19 di negara ini dengan 459 kes diikuti daerah Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatatkan 378 dan 335 kes.

Menurut infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, Selangor paling tinggi kes positif Covid-19 iaitu 1,183 kes manakala kes terendah di Labuan iaitu 15 kes.

Dalam kedudukan dunia, Malaysia setakat ini berada di tangga ke-34 dengan 4,530 kes positif dan 73 kematian.