Malaysia Dateline

9 Mei: Rakyat berani berubah menuju cita sempurna

Ada yang mempersoal pemilihan ‘revolusi’ yang menjadi tajuk pada buku terbaharu susunan Ahmad Lutfi Othman ini.

Pihak terbabit mungkin terlalu idealis meletakkan makna revolusi dengan apa yang berlaku di luar negara.

Namun, pemilihan kata tersebut dalam konteks perubahan politik Malaysia berada dalam konteks tersendiri dan dilihat masih sesuai memandangkan tarikh 9 Mei 2018 mencipta sejarah tumbangnya rejim Umno-BN sebagai parti pemerintah.

Terutama selepas 100 hari kerajaan baharu tertubuh, kemudiannya melepasi tempoh lapan bulan, maka rungutan atau keluhan rakyat terhadap prestasi pemerintahan yang bertukar itu tambah ketara. Seolah-olah peristiwa besar, Rabu 9 Mei itu semakin pudar dalam masa singkat, diasak pelbagai tohmahan dan pentafsiran.

Ahmad Lutfi dalam satu tulisannya selepas buku Revolusi Tanpa Darah ini diterbitkan, mencatat:

“Mungkin banyak pihak turut resah dan risau dengan upaya kerajaan memenuhi janji manifesto, selain kos sara hidup dan barangan asas yang terus meningkat, namun janganlah sampai kita tidak hargai atau melupakan jasa besar rakyat yang berani menghumbankan regim korup BN. Perlahan-lahan tetapi mengikut landasan betul dan keutamaan, kita sedang bangkit mengisi kemenangan dan agenda pembaharuan.”

Ahmad Lutfi sebelum ini turut mengingatkan, buku terbarunya itu yang mula ditulis seawal Jun 2018, tidak menghuraikan langkah-langkah perubahan dan refornasi. Ia lebih kepada usaha penulis membingkai potret sejarah gemilang untuk rujukan masa depan.

Hadami coretan bekas Ketua Pengarang Harakah berkenaan dalam upaya mengisi makna Malaysia Baharu. Ahmad Lutfi dalam bahagian kedua buku tersebut mengabadikan pengalamannya ‘berperang’ dengan penguasa, antaranya dalam konteks memperjuangkan kebebasan akhbar.

Banyak akhbar, majalah, makalah tidak berkala dan buku-buku politik terbitan beliau dirampas KDN.

Malah ada dua bab khusus tentang rakaman menarik kembara politik Ahmad Lutfi yang panjang, berjudul “24 jam sebelum Umno-BN tumbang”.

Seawal pilihan raya umum 1969, sewaktu masih di kelas tadika, beliau mengimbau pergolakan politik tanahair, sehingga kemuncaknya pada malam PRU 2018. Tentunya begitu manis dan indah sekali mengutip buah kemenangan yang ranum selepas menunggu hampir lima dasawarsa itu.

 

Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan FSSK Universiti Kebangsaan Malaysia UKM Prof Dato8217 Dr Mohammad Agus ketika bertandang di kediaman Ahmad Lutfi Othman di Ampang semalam

Dalam bahagian pertama buku berwarna merah menyala itu memuatkan temubual dengan beberapa ahli akademik yang sarat dengan wacana dan idea perubahan.

Kita seakan-akan mengikuti kuliah politik daripada Dr Syed Husin Ali, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor, Dr Mazlan Ali, Dr Mustafa Kamal Anuar dan Dr Mohd Agus Yusof.

Para peneliti politik berkenaan berjaya mengungkapkan sisi-sisi menarik dalam usaha menumbangkan regim Umno-BN yang ternampak pada awalnya seolah-olah tidak terkalahkan, selain beberapa persoalan menarik lainnya seperti proses peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Turut disinggung pengamatan umum terhadap langkah awal pembaharuan dan pembentukan barisan Kabinet.

Itu sebabnya buah tangan Ahmad Lutfi yang pada masa ini turut mengisi ruang di akhbar Mingguan Amanah menambahkan korpus bahasa Melayu berkaitan senario siasah detik 9 Mei.

Setakat ini rasanya belum ada laginya buku berbahasa kebangsaan yang memperihalkan era tumbangnya BN di tangan Pakatan Harapan (PH).

Sudah sewajarnya Ahmad Lutfi merakamkan sejarah penting negara itu, sekali gus menyelamatkan Malaysia daripada terjunam ke dalam kancah negara gagal dan berakhirnya kleptokrat global.

Meminjam istilah yang pernah digunakan Prof Syed Hussein Al-Attas dalam siri ‘Syarahan Umum Bangi’, keputusan PRU14 pada 9 Mei lalu sebenarnya tidak keterlaluan boleh dikatakan menuju ke arah ‘Cita Sempurna’.

Sebabnya, rata-rata rakyat Malaysia sudah muak dengan kepincangan pentadbiran BN.

Bagi Syed Hussein ‘Cita Sempurna ditakrifkan sebagai, “..satu pandang hidup yang menyeluruh, bertujuan mencapai masyarakat sempurna.”

Dua lagi cita turut diperkenalkan bapa sosiologi tempatan dan Nusantara berkenaan iaitu Cita Bencana yang merupakan segala yang bercanggah dengan Cita Sempurna manakala Cita Sejarah sebagai “..konsep sempurna yang dipancarkan ke atas sejarah.”

Perbincangan Syed Hussein tentang ketiga-tiga komponen cita tersebut adalah menyeluruh dalam upaya melahirkan ‘masyarakat sempurna’ dengan realistik bukan utopia.

Bertitik tolak daripada wacana bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) itulah, keputusan PRU-14 pada 9 Mei tahun lalu sekali gus menolak Cita Bencana yang sebelum ini bermaharajalela di tanah air ini.

Detik-detik bersejarah pada 9 Mei itu juga digarap dalam buku Ahmad Lutfi ini oleh deretan penulis antaranya Dr Faisal Tehrani, Fathi Aris Omar, Lim Hong Siang, Zin Mahmud, Dr Muhaimin Sulam dan Mohd Sayuti Omar.

Mereka dan ramai lagi mendokumentasikan peristiwa penuh bermakna dalam sejarah politik pilihan raya di negara ini dengan pelbagai sudut pandang.

Terdapat pengalaman peribadi penulis tertentu, terutama menjelang detik kemenangan yang menambah-ceriakan lagi kandungan buku ini.

Saya sendiri turut serta menulis untuk buku buah tangan Ahmad Lutfi ini dengan menitipkan penghargaan khas kepada kaum ibu. Tanpa peranan majoriti pengundi wanita, revolusi 9 Mei hanya tinggal sekadar harapan.

Dapatkan buku Revolusi Tanpa Darah untuk mengimbas seketika detik-detik menakjubkan keberanian rakyat Malaysia untuk berubah tanpa menumpahkan setitik darah demi masa depan yang lebih baik dan sejahtera.

Buku setebal hampir 400 halaman ini berharga RM40. Ia boleh dipesan melalui pos dengan menghubungi Luqman Hakim 0192903291.

Kepada pembaca yang mungkin tidak puas menatap lembaran buku ini, harap bersabar menunggu karya Ahmad Lutfi seterusnya yang bakal mengupas langkah pembaharuan dan agenda reformasi kerajaan.

Ia turut menyentuh apa yang didakwa keresahan orang Melayu terhadap prestasi Pakatan Harapan, yang dikatakan gagal memenuhi aspirasi rakyat.

“Saya akan memberi tumpuan kepada perang parti politik merebut pengaruh, khususnya di kalangan masyarakat Melayu, menjelang PRU15 nanti. Benarkah Pakatan Harapan hanya mendapat sokongan minoriti, iaitu hanya sekitar bawah 30 peratus pengundi Melayu? Dan mungkinkah PH menjadi kerajaan sepenggal sahaja?” jelas Ahmad Lutfi apabila ditanya rancangannya menulis buku baharu, selepas genap setahun pemerintahan, Mei nanti.