Malaysia Dateline

90% Umno tolak Bersatu, beri kata dua kepada Pas, mahu MN atau PN

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, 90 peratus akar umbi Umno tidak mahu parti itu mengadakan kerjasama dengan parti Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Kepada Pas pula, Umno memberikan katadua, samada mahu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.

Mohamad berkata, anggaran beliau itu adalah ukuran yang dilihatnya membabitkan pandangan akar umbi berhubung penerimaan dalam kerjasama antara parti pada pilihan raya berkenaan.

“Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu Umno bersama dengan Bersatu. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.

“Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira,” katanya kepada Beita Harian, hari ini.

Ditanya mengenai kerjasama Muafakat Nasional (MN), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kerjasama berkenaan banyak bergantung kepada Pas.

“Kita sentiasa menghulurkan tangan, tetapi Pas kena buat keputusan sama ada mahu bersama Perikatan Nasional (PN) atau dengan MN.

“Kita minta Pas buat keputusan, jangan pula Umno dilihat sebagai yang tidak mahu. Sebenarnya, kita sudah katakan terpulang kepada Pas, kita sentiasa menghulurkan tangan.

“Malah, pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini pun kita sudah menyatakan tidak akan mengadakan kerjasama dengan Bersatu, tetapi kita mahu terus mengukuhkan MN. Jadi itu terpulang kepada mereka (Pas),” katanya kepada Berita Harian.

Petang semalam, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan mesyuarat santai bersama Mohamad dan naib-naib presiden Umno sambil minum teh.

Ia diadakan menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang akan diadakan  malam esok.