Malaysia Dateline

900 topeng penutup muka diagih kepada pelajar di Kuching

Sebanyak 900 topeng penutup muka (face masks) telah diagihkan kepada pelajar SJK (Cina) Chung Hua Stapok termasuk tadika Kindergarten dalam satu program kesedaran mengenai wabak Koronavirus di Batu Kawa, Kuching semalam.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK), Chong Chieng Jen, program tersebut bertujuan bagi mengurangkan penularan wabak Koronavirus daripada terus merebak di negeri ini.

Katanya, program kesedaran itu turut dilaksanakan di SJK (Cina) Chung Hua Syn San Too dan SJK (Cina) Chung Hua Batu Kawa dengan masing-masing 950 topeng penutup muka telah pun diagihkan.

“Saya harap mereka(pelajar) dapat diberi kesedaran berkaitan wabak koronavirus ini sekali gus mampu mengurangkan penularan di negeri ini,” ujanya semasa ditemui ketika mengagihkan topeng penutup muka
di Kuching semalam.

Chong menegaskan, kanak-kanak bawah umur antara yang berisiko tinggi terdedah wabak virus tersebut sekiranya tiada kempen kesedaran dimulakan dengan kadar segera.

Tambah beliau lagi, pihaknya dalam proses menempah lebih 30 ribu topeng penutup muka untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah rendah di sekitar Batu Kawa nanti.

“Kita akan mengagihkan topeng penutup muka ini kepada sekolah-sekolah rendah di sekitar Batu Kawa sebaik tempahan sampai dalam masa terdekat ini,” katanya lagi.