Kes Covid-19 terus meningkat dengan angka kes kini berada di tahap membimbangkan apabila kes menghampiri 10,000 hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 9,117 kes positif Covid-19 baharu hari ini menjadikan keseluruhan kes positif dalam negara mencecah 2,904,131 kes.
Angka kes hari ini tertinggi dalam tempoh lebih kurang empat bulan.
Sementara itu menerusi hantaran Facebook Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes positif hari ini berterusan meningkat seperti yang dijangka.
Beliau turut menyeru orang ramai agar segera mendapatkan suntikan penggalak ekoran lonjakan kes dalam beberapa minggu ini.
“Kes harian Covid-19 terus meningkat seperti yang dijangka dalam tempoh beberapa hari dan minggu. Pada semalam, 99 peratus pesakit adalah dari kategori 1 dan 2.
“Apa yang penting untuk anda, dapatkan dos penggalak dengan segera,” katanya.