92 peratus rakyat bimbang tidak cukup dana persaraan, kata BNM

92 peratus rakyat bimbang tidak cukup dana persaraan, kata BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan hari ini sehingga 92 peratus rakyat Malaysia bimbang dengan keadaan dan keperluan kewangan mereka pada usia tua serta tidak bersedia menghadapi persaraan.

Penolong Gabenor BNM Jessica Chew Cheng Lian berkata 33 peratus ‘sangat bimbang’ dengan keadaan kewangan mereka apabila mencapai usia tua, manakala baki 59 peratus ‘agak bimbang’.

Bercakap pada satu sesi panel bertemakan “Your Retirement Aspiration: Making It A Reality” (Aspirasi Persaraan Anda: Jadikan ia satu Realiti) pada Persidangan Jaminan Sosial Antarabangsa 2016 di sini, hari ini, beliau berkata 40 peratus daripada rakyat Malaysia mengatakan mereka bersedia untuk bersara manakala 80 peratus menyatakan mereka mempunyai strategi untuk menampung perbelanjaan pada usia tua.

Strategi paling popular termasuk bergantung kepada anak-anak atau pasangan, terus bekerja dan bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan.

Chew menegaskan kebanyakan rakyat Malaysia mengguna pakai strategi pasif bagi persaraan seperti yang dicerminkan dalam komposisi aset isi rumah, dengan 42 peratus memilih membeli hartanah, 25 peratus memilih menyimpan wang dalam bank dan 18 peratus bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata hanya 24,180 polisi insurans dengan premium tahunan RM280.2 juta telah terjual sejak insentif cukai diperkenalkan pada 2012.

Bagi membentuk semula realiti dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau berkata kesedaran dipertingkatkan menerusi penyepaduan pendidikan kewangan dalam kurikulum sekolah bagi murid tahun empat hingga tahun enam.

“Kami juga membentuk rangkaian pendidikan kewangan untuk menyelaraskan dan memacu inisiatif pendidikan kewangan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Chew berkata BNM juga memperkenalkan produk pencen inovatif dan dipelbagaikan untuk membantu individu menangani risiko persaraan.

Beliau berkata strategi lain bakal pesara termasuklah menambah baik struktur insentif seperti menggalakkan peranan yang lebih besar bagi majikan untuk menyediakan pelan pencen pekerjaan suka rela, serta insentif penggunaan pinjaman pendapatan untuk mengelakkan penyusutan pramatang simpanan.

Menurut Penasihat Malaysian Healthy Ageing Society Nathan Vytialingam, lelaki berusia antara 65 dan 74 dianggap sebagai golongan tua yang masih muda, yang berusia antara 75 dan 84 golongan tua pertengahan, manakala yang berusia atas 85 golongan tua.

TAGS