Malaysia Dateline

942 petani terima insentif Projek Estet Padi, Pemacu Pertanian

Seramai 942 petani dari tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menerima bayaran Insentif Projek Estet Padi, Projek Pemacu Pertanian (PPP), peringkat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Wilayah 2, Musim 2/2019 yang disampaikan oleh Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Pembangunan Insan Negeri Kedah, Dr Salmee Said semalam.

Tiga kawasan PPK yang menerima insentif tersebut adalah dari A2 Kodiang B2 Sanglang dan C2 Kerpan.

Menurut Dr Salmee, pengurusan (MADA) telah pun mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi oleh petani di kawasan Muda.

Malah katanya, antara masalah tersebut ialah pengusahaan sawah yang semakin mengecil serta tidak ekonomik.

Selain itu jelas beliau, masih ramai dalam kalangan petani masih lagi tergolong dalam golongan berpendapatan bawah B40 atau pun kurang dari RM3860.

“Disamping itu kegiatan pindah milik kepada pihak swasta begitu berleluasa tatkala ini.

“Program transformasi pertanian yang dibangunkan MADA bertujuan untuk menambah baik pengurusan estet padi menerusi pengenalan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB).

“Dengan pelaksaan program PPSB, ia membolehkan pengurusan estet padi dijalankan dengan lebih berkesan melalui penyaluran maklumat perkembangan yang cepat dan efisien, ” jelasnya.

Tegasnya, penggunaan aplikasi teknologi dan mekanisme terkini adalah lebih menyeluruh.

Beliau juga berkata, langkah tersebut adalah bagi membantu memudahkan pengurusan dan aktiviti penanaman padi.

“Melalui pelaksanaan tersebut, perancangan serta keputusan dapat dibuat secara lebih tepat.

“Ia bertujuan untuk menjamin pengeluaran hasil padi lebih tinggi dan konsisten.

“Dengan usaha ini ia diharapkan dapat menarik lebih ramai petani muda untuk melibatkan diri mereka dalam industri penanaman padi,” tambah beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh.