Malaysia Dateline

95 peratus graduan dan belia Malaysia sanggup ambil pekerjaan 3D, kata Syed Saddiq

Kementerian Belia dan Sukan hari ini mendedahkan dapatan daripada Institut Kajian Khazanah yang menunjukkanak anak muda Malaysia sanggup untuk mengambil pekerjaan yang lebih rendah dari kelayakan mereka.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata,salah faham bahawa anak muda Malaysia suka memilih, menjangkakan gaji dan tuntutan yang tidak realistik, kini telah dibuktikan ia tidak benar sama sekali.

“Anak muda Malaysia sanggup untuk mengambil pekerjaan yang lebih rendah dari kelayakan mereka. Berbeza dengan tanggapan biasa, anak muda sanggup untuk mengambil pekerjaan 3D (dirty, difficult, dangerous).

“Laporan mendapati 95% graduan muda mempunyai kelayakan lebih tinggi dari pekerjaan mereka dan hampir 50% bekerja di sektor kemahiran rendah di mana kemahiran mereka lebih dari kelayakan sendiri,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Syed Saddiq Ahli Parlimen Muar juga berkata, masalah sebenar anak muda Malaysia kerana mereka dibayar rendah, pada masa sama kos sara hidup yang meningkat, yang menjadi beban kepada belia hari ini.

Beliau menyarankan perlu adanya desakan kuat untuk semakan gaji pekerja Malaysia dan memberi faedah kepada anak muda.

“Mereka tidak kisah bekerja dalam sektor 3D jika dibayar setimpal.

“Saya akan bangkitkan perkara ini di dalam Mesyuarat Kabinet untuk kita perhalusi lagi permasalahan ini, supaya perkara ini dapat dimaklumkan kepada kementerian yang berkaitan.

“Kita perlu menambahbaik gaji minima untuk anak muda. Mengikut kajian ini, anak muda kita tidak memilih dan ini perlu diambil kira, supaya gaji yang diperolehi setaraf dengan kelayakan dan kos kehidupan semasa,” ujarnya.

Ketua Armada Bersatu ini juga berkata sektor korporat juga perlu mengikut jejak yang sama dan menstrukturkan semula skim gaji mereka bagi membolehkan pengalaman kerja yang holistik dan bermanfaat untuk anak muda hari ini.

Sekiranya ia gagal dilaksanakan beliau melahirkan kebimbangan anak muda Malaysia akan terpaksa mencari peluang kerja di tempat lain, katanya.