95 peratus jemaah haji sudah berlepas ke tanah suci

95 peratus jemaah haji sudah berlepas ke tanah suci

Sebanyak 95 peratus daripada 30,200 jemaah haji tanah air sudah berlepas ke Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata baki lima peratus lagi jemaah dijadual berlepas dalam waktu terdekat dengan penerbangan terakhir pada 28 Ogos ini.

“Walaupun saya tidak berada di Tanah Suci bersama jemaah lain ketika ini, namun setiap hari saya monitor dan menerima laporan daripada Tabung Haji mengenai perkembangan jemaah haji yang telah berada di Makkah dan Madinah.

“Sehingga hari ini, sudah 95 peratus penerbangan berlepas dan penerbangan terakhir ialah pada Isnin ini,\” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Mahabbah Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) Kedah 2017 di pekarangan Masjid Al-Khairiyah Bedong, malam tadi.

Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia pada 24 Julai lalu dan penerbangan terakhir dijadualkan pada 26 Ogos, namun ada penerbangan yang tertunda selepas Kerajaan Arab Saudi memperketat urusan pengeluaran visa haji bagi mengelakkan pengganas menyeludup masuk ke sana.

Dalam pada itu, Jamil Khir turut memuji penganjuran program terbabit yang disifatkannya sebagai antara usaha menyuburkan kemajuan dan pembangunan Islam di negara ini.

“Radio ini menjadi model penyiaran pada masa kini dengan jangkauan pendengar mencecah 1.4 juta orang dan IKIM berdiri bukan hanya atas platform penyiaran semata-mata sebaliknya lebih ‘advance’, termasuklah menerusi televisyen IKIM dan media sosialnya, yang boleh dicapai masyarakat hampir di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, pada program bertemakan Ukhwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah itu, seramai 160 asnaf dari kawasan zon Bedong, menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia.

Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Profesor Datuk Dr Azizan Baharuddin dan Ketua Pengarah Yayasan Pembagunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin.

Pelbagai acara menarik diatur sepanjang dua hari program berlangsung, bermula Khamis lalu, antaranya Forum Al-Quran dan Peradaban, siaran langsung [email protected], segmen dari konti ke pentas, pertandingan memanah dan memasak, serta pameran dan jualan produk.

{loadposition myposition}

CATEGORIES
TAGS