95,111 veteran ATM terima Bantuan Harapan Negara mulai hari ini

95,111 veteran ATM terima Bantuan Harapan Negara mulai hari ini
Mohamad Sabu (tengah) ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) Bil 3/2019 di Kementerian Pertahanan hari ini. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kiri) dan (kanan) bekas Pegawai Memerintah KD Pelanduk Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Hamid.

Sejumlah 95,111 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menerima Bantuan Harapan Negara (BHN) berjumlah RM500 seorang mulai hari ini sebagai usaha berterusan kerajaan menjaga kebajikan golongan itu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata pembayaran bantuan peringkat pertama itu melibatkan peruntukan sebanyak RM47.5 juta kepada veteran berpencen dan tidak berpencen.

“Pembayaran inisiatif ini diharap dapat meringankan sedikit bebanan veteran yang terlibat terutama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

Veteran ATM yang telah menerima surat daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dimohon untuk mengemas kini maklumat berkaitan dengan nombor kad pengenalan baharu dengan menghubungi pusat panggilan JHEV ATM bagi memudahkan proses kelulusan BHN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Mohamad berkata pembayaran peringkat kedua BHN akan dilaksanakan pada Oktober.

Sementara itu, sejumlah 50 daripada 143 persatuan veteran layak menerima bantuan khas kerajaan sehingga Mei tahun ini.

Mohamad berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27 persatuan telah menerima bantuan dengan peruntukan berjumlah RM500,500.

“Bantuan ini bagi membantu persatuan menjalankan aktiviti berkaitan. Selain itu, persatuan juga diingatkan untuk memajukan laporan tahunan sebagaimana yang dikehendaki sebagai syarat untuk menerima peruntukan itu, ” katanya. – BERNAMA