Penagihan dadah merupakan isu kesihatan sosial dan harus ditangani oleh sektor kesihatan dan bukan sistem keadilan jenayah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkeply Ahmad.
Beliau berkata undang-undang semasa; Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, telah mentafsirkan semua orang yang menggunakan dadah sebagai penjenayah dalam pelbagai cara.
“Penggunaan dadah, pemilikan untuk kegunaan peribadi dan mereka yang dihantar ke Pusat Serenti untuk rawatan akan mempunyai rekod jenayah yang mungkin menghalang mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai.
“Penggunaan dadah perlu dilihat sebagai isu kesihatan dan sosial. Perlu ada perbezaan yang jelas antara penggunaan dadah untuk berseronok, pengguna dadah yang bermasalah, dan penagihan serta pengedaran.
“Kita perlu mengkaji secara komprehensif pendekatan kita sekarang terhadap masalah dadah, dengan mengambil kira wabak ” dadah baharu ” jenis Amphetamine (ATS) di rantau ini,” kata beliau dalam ucaptama mengenai Pemikiran Semula Dasar Dadah di Malaysia bersama Suruhanjaya Global Dasar Dadah Institut Penyelidikan Pengurusan & Perkhidmatan Penyelidikan (IPPP) di Universiti Malaya, pada Khamis.
Oleh itu Dr Dzulkefly menegaskan bahawa proses dikriminalisasi yang kini masih dibincangkan, akan secara tidak langsung membantu individu yang menggunakan dadah daripada mereka dipenjarakan untuk tempoh tertentu.
“Dikriminalisasi bermaksud ´penghapusan´ penalti jenayah untuk memiliki dan menggunakan dadah dalam jumlah yang kecil untuk penggunaan peribadi, berbanding dengan mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah. Pengedaran dadah akan terus menjadi perbuatan jenayah.
“Jangan aibkan mereka dengan dipenjarakan, jangan mengurung tetapi tolonglah mereka. Penyedia penjagaan, golongan profesional, pakar tentang ketagihan dadah selalu ada dan tentu saja, kita akan mengurangkan beban, beban ekonomi yang berat terhadap pemenjaraan kerana itu juga penting.
“Saya benar-benar mengambil berat soal kepentingan negara dan rakyat, bukannya menentang agama. Ia tidak menghalalkan sesuatu yang haram dari segi agama, “katanya dan menambah bahawa sejumlah 161,945 pengguna dadah dilaporkan pada Jun 2019.
Dr Dzulkefly menekankan bahawa apabila dikriminalisasi diputuskan, kerajaan dapat mengurangkan dengan ketara populasi penjara, menjimatkan wang dan mengurangkan beban kerja sistem keadilan jenayah.
Selain itu, mahkamah dapat mengurangkan kes tertunggak dan polis akan dapat menyalurkan lebih banyak sumber kepada pencegahan jenayah dan jenayah serius untuk menjadikan masyarakat kita lebih selamat, kata menteri itu.
Dr. Dzulkefly meletakkan sasaran untuk melaksanakan dasar dikriminalisasi ini sebelum penghujung penggal pertama Pakatan Harapan.
Dilaporkan bahawa, kerajaan menuju ke arah penghapusan denda terhadap pemilikan dadah untuk kegunaan peribadi, tetapi ini tidak boleh disalah tafsir untuk menghalalkan bahan ini.
Dikriminalisasi akan menjadi langkah kritikal seterusnya untuk mencapai dasar dadah rasional yang mengutamakan sains dan kesihatan umum daripada hukuman dan penahanan.– BERNAMA