Malaysia Dateline

970 kes baharu, giliran Negeri Sembilan pula catat kes harian tertinggi

Hari ini Malaysia telah merekodkan kes harian baharu sebanyak 970 kes sekaligus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di seluruh negara adalah sebanyak 59,817 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,971 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 965 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Sehingga kini katanya, terdapat 110 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan
jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 345 kes (0.6 peratus daripada jumlah
keseluruhan kes),” katanya.

Bagaimanapun, katanya pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 2,348 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 46,501 kes.

Negeri Sembilan catat kes harian tertinggi

Dalam pada iti, Negeri Sembilan pada hari ini melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 318 kes (32.8 peratus). Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 293 kes (30.2 peratus) dan negeri Selangor sebanyak 115 kes (11.9 peratus).

Katanya, peningkatan kes di Negeri Sembilan banyak dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Bakti yang melaporkan sebanyak 301 kes (94.7 peratus).

169 kluster aktif

Sehingga 25 November 2020, terdapat sebanyak 339 kluster telah dilaporkan termasuk lima kluster baru yang
dilaporkan pada hari ini.

Manakala jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 170 kluster dengan tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Idaman, Kluster Bayu dan Kluster Bah Kota.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 169 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 40 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Bakti (301 kes), Kluster D’Bajaru (56 kes) dan Kluster Pengkalan Barat (40 kes).