Malaysia Dateline

Konvensyen Amanah Jamzuri Ardani

99.93 peratus projek kerajaan PH diluluskan melalui tender terbuka

Pengarah Komunikasi AMANAH Melaka, Jamzuri Ardani berkata Pakatan Harapan (PH) telah memenuhi janji manifesto mereka apabila sehingga 99 peratus projek kerajaan telah diluluskan melalui tender terbuka.

Ia jelas selepas pendedahan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini bahawa tawaran projek secara rundingan terus semasa pentadbiran PH hanya membabitkan RM352 juta atau 0.07 peratus dari keseluruhan perolehan kerajaan.

Jamzuri berkata, baki RM6.3 bilion yang disenaraikan adalah projek yang diwarisi dari zaman Barisan Nasional (BN) namun ianya telah dirunding semula oleh PH dengan penjimatan hampir RM1 bilion iaitu 15 peratus pengurangan dari harga asal.

Untuk rekod, nilai keseluruhan perolehan kerajaan bagi projek rundingan terus dan tender terbuka bagi tempoh 2018 hingga 2019 adalah sebanyak RM 477.38 bilion.

“Bayaran kerajaan kepada tayangan piala dunia di RTM berjumlah RM29.9 juta telah dibayar dari wang sumbangan penaja, dan bukan menggunakan wang kerajaan. Penaja bayar pada RTM, dan RTM bayar pemilik hak penayangan. Sepatutnya ini tidak perlu dimasukkan dalam senarai tersebut.

“Program ‘The Young CEO Summit’, Jom Jelajah Niaga’ dan ‘Himpunan Usahawan Bumitera’ yang dibuat secara rundingan terus di bawah MITI juga diluluskan dan dilaksanakan sebelum PRU14.

“Kos keseluruhan sekitar RM8 juta telah disenaraikan di dalam ‘Projek Rundingan Terus 22 Bulan Pentadbiran PH’ padahal ianya dilaksanakan sepenuhnya ketika zaman BN,” katanya lagi.

Terdahulu, Lim Guan Eng berkata, Zafrul cuba ‘mencampurkan sekali’ beberapa projek yang pernah diluluskan BN dan mendakwa ianya adalah projek pemberian PH.

Walhal jelas Lim, jumlah rundingan terus yang diluluskan PH hanyalah membabitkan sebanyak RM352 juta dan bukanlah RM6.61 bilion seperti yang didakwa.

“Jelas sekali ini adalah satu penipuan besar oleh Zafrul yang mengatakan PH telah meluluskan RM6.61 bilion projek rundingan terus.

“Zafrul meletakkan projek zaman BN sebanyak RM6.258 bilion sebagai projek zaman PH yang hanya berjumlah RM352 juta sahaj,” kata ahli Parlimen Bagan itu.