Malaysia Dateline

998 kawasan di Selangor akan mengalami gangguan bekalan air bermula 13 Oktober

Berikutan kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan orang ramai diminta bersiap sedia dengan gangguan bekalan air selama tiga hari bermula 13 Oktober ini.

Gangguan mulai jam 9 pagi pada 13 Oktober yang dijangka pulih jam 9 malam pada 16 Oktober itu berikutan kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal yang tertangguh sejak 2019 akibat insiden pencemaran.

Sebanyak 998 kawasan terlibat meliputi kawasan sekitar Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langar dan Kuala Selangor.

Bagaimanapun pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan menggerakkan 105 lori tangki ke kawasan terjejas terutama hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Agensi juga akan menyediakan 18 pili awam mulai 14 hingga 16 Oktober bagi memudahkan pelanggan mendapat bekalan air bersih sementara proses pemulihan berlaku.

“Empat stesen pengisian air setempat turut dibuka kepada pelanggan komersial yang mahu membeli air menggunakan lori tangki. Bayaran boleh dibuat di 10 kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.

“Pelanggan terjejas dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang gangguan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Orang ramai boleh mendapatkan senarai lengkap kawasan terjejas serta lokasi pili air dan stesen pengisian air setempat di pautan hentitugas.airselangor.com .

Maklumat semasa gangguan bekalan air berjadual ini juga boleh didapati di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram, Twitter atau hubungi talian 15300 dan www.airselangor.com.