MMA desak siasat dakwaan syarikat swasta jual vaksin Covid-19

Oleh KIM SYAZIE

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa vaksin Covid-19 dijual kepada kumpulan persendirian oleh sebuah syarikat swasta yang bukan dalam kategori penjagaan kesihatan.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, syarikat itu didakwa menjual vaksin dengan harga sekitar RM400 untuk dua dos dan menggunakan fasiliti penjagaan kesihatan swasta untuk melakukan proses vaksinasi tersebut.

Tegasnya, MMA mengambil serius perkara tersebut kerana ketika ini kerajaan adalah pengimport dan pengedar rasmi vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)

“Sekiranya memang dakwaan mengenai vaksin yang dijual secara persendirian ini terbukti benar, tindakan tegas harus diambil terhadap syarikat swasta itu dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta yang terlibat.

“Kami mendesak pihak berwajib serta Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk melakukan siasatan penuh mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Sementara itu Subramaniam berkata, semua vaksin Covid-19 yang ada di negara ini disediakan percuma kepada orang awam dan diberikan secara eksklusif menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebelum ini Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada syarikat yang akan dilesenkan untuk menjual vaksin.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus membekal vaksin ke seluruh hospital termasuk hospital swasta, yang akan diberi secara percuma kepada orang ramai.