Tindakan sekumpulan pemimpin Umno yang membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung Umno dan pemimpin parti disifatkan sebagai usaha untuk menggali kubur sendiri.
Begitu juga tindakan mereka yang mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas Presidennya sudah berbuat demikian.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, “Ahli Umno akan tolak apa sahaja tingkat laku politik yang mengenepikan keputusan parti.
“Mereka gali lubang kubur sendiri jika buat kerja power broker,” kata Puad menerusi Facebooknya berikutan tindakan dua pemimpinnya yang dikatakan cuba melawan keputusan parti itu.
Beliau menujukan perkara itu kepada dua pemimpin Umno, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan 25 Ahli Parlimen Umno tidak bersama dengan Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Nazri buat pengakuan terbuka. Dia dalang SD 25 MP Umno yang sokong Hishamuddin jadi jurucakap jika dititah mengadap YDPA Agong.
“Hishamuddin tidak menafikannya. Dia kekal membisu. Bolehlah disimpulkan dakwaan Nazri itu adalah benar. Dengan kata lain mesti Hishamuddin merestuinya,” kata Puad, bekas timbalan menteri kerajaan BN dahulu itu.
Beliau mempersoalkan, apa tujuan Hishamuddin mahu mengadap YDP Agong.
“Siapa bagi autoriti? Apa locus standi beliau. Dia bukan Presiden, bukan Pengerusi BNBBC dan bukan ahli MKT.
“Bukankah Presiden sudah mengadap YDP Agong. Kalau dia setia parti dia tidak akan buat perundingan lain. Itu merosakkan parti,” kata beliau.
Bagi beliau, Umno parti berpengalaman dan tidak akan terkubur dengan tindakan sesetengah pemimpinnya.
“Bila pemimpin bersengketa, parti tidak terkubur kerana ahli Umno istiqomah dan tahu menilai,” kata beliau.
Menurut Puad, sesetengah pemimpin Umno memang mementingkan kepentingan diri masing-masing.
“Mereka yang bersengketa sebenarnya mengutamakan survival politik masing masing.
“Sebab itu akhirnya, yang tidak ikut keputusan jamaah, keputusan MKT dan keputusan PAU akan tenggelam dan lenyap.
“Itu sifir mudah Umno. Semua yang cuba berunding sendiri untuk survival sendiri tidak akan bertahan lama dalam parti,” kata beliau.
Semalam, katanya, tular surat Hishamuddin menggunakan logo BN.
“Ia lengkap senarai anggota Kabinet baru. Cepat pula wakil Hishamuddin nafi dan dakwa surat itu palsu,” katanya.
Sebab itu, katanya, Hishamuddin tidak boleh mengelak dari berbagai persepsi.
“Kononnya dia takut didakwa, mahu jadi TPM dan power broker Umno kepada PM 8?” katanya.
Bagi beliau, Hishamuddin kena terima persepsi tersebut.
“Berani buat berani tanggung. Berapa kali kerja belakang pintu tanpa restu parti mahu dibuat,” katanya.
Beliau memberikan contoh kejadian yang berlaku di Sabah sebelum ini.
“Di Sabah game siapa sehingga menyebabkan 21 Ketua Bahagian tinggalkan Umno. Tinggal 3 orang yang istiqomah. Nyata Umno Sabah tidak mati pun,” katanya.
Sebelum ini, Hishamuddin menulis satu artikel bertajuk “melangkaui politik dan pandemik”.
Hishamuddin melahirkan rasa kecewa kerana di saat getir, semua isu dipolitikkan. Katanya, politik tanpa batas tidak bawa kita ke mana-mana.
Apakah tindakan Nazri yang beliau restui itu bukan tindakan politiking terutama dari segi prinsip berjamaah dalam Umno?
Dalam artikel itu Hishamuddin dakwa baling batu sembunyi tangan adalah langkah murahan demi kepentingan sendiri.
“Tanyalah diri sendiri.
“Kalau mahu bertanggungjawab, kembali ke mainstream Umno secara gentleman. Jangan rosakkan kebangkitan Umno dengan game plan lain tanpa autoriti parti,” kataya.
Apakah membincangkan isu dalaman Umno secara terbuka satu masalah?
Bagi bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN dahulu itu, tidak salah mengulas mengenai parti sendiri secara terbuka.
“Di zaman internet, jangan hipokrit dan jangan apologatik” katanya.