Padam Amanat Haji Hadi: Akan muncul amanat kedua ke selepas ini?

Oleh KIM SYAZIE

Susulan fatwa ‘Amanat Haji Hadi’ yang didapati telah dipadam dari senarai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pengerusi AMANAH Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah bertanya sama ada selepas ini akan muncul pula amanat kedua dari Presiden Pas itu.

Beliau berkata, satu penjelasan perlu diberi oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) apabila berlaku pemadaman fatwa tersebut dan mendakwa ia merupakan isu besar yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

“Setelah JAKIM padam amanat lama Haji Hadi, mungkin akan keluar pula amanat baru Haji Hadi untuk memerangi musuh Islam yang terdiri dari orang Islam rakyat Malaysia sendiri. Perpecahan lebih besar dalam kalangan Melayu – Islam akan terus berlaku.

“Akan muncul pulakah Amanat Haji Hadi bahagian kedua selepas genap 40 tahun?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kamarul mengingatkan agar Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri tidak menganggap hal yang berlaku ini perkara kecil kerana menteri agama itu pernah berada di tengah-tengah masyarakat Terengganu yang porak peranda akibat amanat tersebut.

Beliau berkata, Zulkifli perlu segera menjelaskan status Amanat Haji Hadi itu dan sama ada Datuk Seri Hadi Awang telah menarik balik amanat tersebut.

Beliau juga membayangkan amat bahaya kesannya jika isu tersebut tidak dijelaskan lebih-lebih lagi sekiranya Hadi yang kini di dalam kerajaan mengeluarkan amanat baru tentang memerangi musuh Islam mengikut selera pandangan perspektif beliau.

Menurut Kamarul, Hadi sebelum ini telah banyak mendesak rakyat menentang musuh Islam dan menuduh Pakatan Harapan memusuhi Islam tanpa memberi hujah spesifik atau apa-apa bukti.

“JAKIM adalah agensi di bawah Kementerian Agama dan rakyat menunggu serta mengharap satu penjelasan untuk menyelesaikan segala kekeliruan dari menteri.

“Kalau keputusan Jawatankuasa Fatwa Malaysia yang telah membuat ketetapan dan pendirian ke atas Amanat Haji Hadi itu boleh dipadamkan oleh JAKIM, adakah kuasa menteri agama boleh mengetepikan ketetapan Majlis Fatwa begitu sahaja?

“Menteri Agama perlu telus serta tegas dan menyatakan keadaan sebenarnya dalam isu pemadaman Amanat Haji Hadi dari portal JAKIM,” katanya lagi.