Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pulau Pinang menyeru Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mempertimbangkan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat pada masa ini kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang lebih longgar di beberapa daerah tertentu di Pulau Pinang.
Menurut Pemangku Pengerusi MPN Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, kini ketegangan ekonomi semakin memuncak ekoran tindakan penutupan yang ketat dan tidak bersasar.
Malah kata beliau lagi, situasi kini semakin melarat dan menemui jalan buntu dan masyarakat berada dalam situasi yang amat celaru.
“Kes harian tetap dengan jumlah yang tinggi walaupun PKP dilaksanakan dan kita harus akui pengalaman PKP yang pertama cukup berkesan dimana secara tidak langsung menghasilkan keputusan yang baik dalam mencapai matlamat MKN. Pengalaman tersebut seharusnya diterjemahkan pada waktu ini yang dilihat kucar-kacir.
“Penutupan majoriti sektor ekonomi ditambah dengan kekurangan sokongan kewangan yang berterusan oleh kerajaan Persekutuan telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan. Sebaliknya terlalu ramai peniaga kecil dan sederhana telah memilih untuk menutup premis mereka dan barangan mereka terpaksa dijual bagi menampung kelangsungan hidup.
“Di Pulau Pinang sahaja, 53 kes bunuh diri telah dilaporkan dalam 5 bulan terakhir dan dipercayai ia ekoran tekanan hidup serta tiada kelangsungan punca pendapatan pada masa pelaksanaan PKP,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Tegasnya, antara 13 hingga 19 Jun 2021, Pulau Pinang mencatat kadar positif yang terendah dalam negara iaitu 3.36 peratus.
Kata Bakhtiar lagi, dengan petatusan kes sporadik pula, Pulau Pinang mencatat kedudukan kedua yang paling rendah di negara ini iaitu, 38.36 peratus dan MKN seharusnya secara serius menggunakan langkah-langkah kawalan dan pendekatan PKP yang lebih baik dan bersasar bagi setiap negeri, pelaksanaan rentas daerah dan negeri.
Jelas beliau, dengan jangkitan yang terkawal kerana kewujudan kaedah pengesanan kontak rapat yang lebih efektif, adalah diyakini sudah tiba masanya sekatan pergerakan terpilih perlu diperkenalkan bagi membolehkan masyarakat terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan kecil dan sederhana dapat menebus kembali kerugian yang dialami sebelum ini.
Bakhtiar turut berkata, operasi dan waktu premis makanan beroperasi serta tidak boleh menjamu selera dalam premis harus dikaji semula serta MKN harus lebih telus dalam mempamerkan berapa banyak kompaun yang dikenakan. Malah setiap pelaksanaan PKP mesti disertakan dengan jumlah bantuan yang diperlukan serta sokongan tambahan seperti moratorium pinjaman bank dalam waktu yang terdesak ini.