Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengaku dia tidak dapat hadir dalam sesi Zoom yang dianjurkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memberi fokus kepada i-Sinar dan i-Lestari.
Semalam, KWSP telah menganjurkan Sesi Zoom dengan beberapa orang influencer dalam kalangan rakyat bagi mendengar secara terus suara rakyat tanpa sebarang tapisan.
Menurut Zafrul dalam perkongsiannya di facebook, beliau memang merancang dan teruja untuk turut serta dalam sesi itu tetapi malangnya tidak dapat hadir pada saat akhir disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Selain para influencer KWSP turut menjemput peserta dari Facebook groups yang khusus memfokus kepada i-Sinar, i-Lestari dan bantuan-bantuan Kerajaan.
“Saya tetap merakam pandangan untuk dikongsi bersama peserta sesi Zoom semalam.
“Saya juga telah menonton rakaman sesi tersebut kemudian. Banyak idea dan cadangan yang menarik diutarakan.
“Pihak KWSP dan kami di Kementerian Kewangan sentiasa mendengar luahan dan keluhan anda.
“Sesi ini adalah sebahagian usaha kami untuk mendapatkan maklum balas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat,” kata beliau.
Beliau juga memberitahu telah bermesyuarat bersama CEO KWSP Datuk Seri Amir Hamzah, dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara.
“Ingin saya tekankan bahawa Kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan.
“Salah satu permintaan yang sering kami terima ialah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari.
“Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat, malah saya juga secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini,” katanya lagi.
Justeru katanya, pelbagai suara menyokong dan membantah bagaimanapun kerajaan akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak.
‘Total lockdown’ hari ini membuatkan lebih ramai rakyat mengeluh dengan kesempitan hidup dan kegawatan ekonomi.
Malah rata-rata menggesa agar kerajaan membenarkan pencarum untuk mengeluarkan i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0 bagi membantu rakyat yang terkesan ketika PKP ini.