Covid-19 itu sesungguhnya benar.
Ia membawa kesan yang teramat besar kepada kita semua baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi.
Sesiapa pun yang melaluinya pasti akan tahu betapa sukar, perit dan pahit dibelenggu oleh pandemik tersebut.
Generasi akan datang pasti akan mendengar kisah-kisah orang tua mereka tentang Covid-19 -bagaimana sehalus-halus virus dapat merobek sebesar-besar tembok manusiawi.
Manakan tidak, di Malaysia sahaja, jumlah kematian akibat pandemik itu direkodkan sebanyak 4,721 kes setakat artikel ini ditulis.
Ini ditambah pula dengan impak ekonomi yang telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan perniagaan terpaksa gulung tikar.
Bayangkan jika yang hilang pekerjaan itu, atau yang memiliki perniagaan itu seorang tonggak pencari pendapatan atau ‘bread winner’ kepada keluarganya? Apakah nasib mereka?
Pendek kata, ramai yang terjejas dek Covid-19.
Sebab itu, sebagai manusia, kita perlu mengambil pengajaran daripada kesalahan lalu. Ia sekurang-kurangnya mengelakkan daripada kita mengulangi kesilapan sama.
Sehingga Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya atau sekurang-kurangnya majoriti rakyat mendapat vaksinasi yang lengkap, kita perlu memastikan tiada apa yang kita rencanakan boleh mencetuskan walau sekelumit risiko lonjakan kes.
Ini termasuk penganjuran sebarang aktiviti awam melibatkan perhimpunan orang ramai ataupun apa-apa berkaitan dengan pilihan raya.
Jika kita imbau kembali, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung September lalu dikatakan menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19 dalam negara.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak ketika pilihan raya diadakan, malangnya ada yang tidak dipatuhi.
Itu yang berlaku di PRN Sabah dan perlu dijadikan iktibar kepada kita semua.
Justeru, ramai berpendapat bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak boleh diadakan tahun ini malah perlu menanti hingga tamat penggal Parlimen pada 2023.
Perkara itu perlu diberi pertimbangan serius mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang membimbangkan ketika ini. Dikhuatiri, sebarang bentuk pilihan raya boleh mengakibatkan penularan jangkitan lebih dahsyat.
Mandat yang dipikul oleh ahli-ahli Parlimen perlu diterjemahkan dengan masing-masing memainkan peranan sebagai wakil rakyat pada sidang Parlimen.
Sidang Parlimen akan memberi ruang kepada ahli-ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19 dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini.
Ke arah itu, Kerajaan PN wajar memanggil sidang Parlimen segera demi kebaikan negara.
Dalam masa sama, cadangan Pakatan Harapan (PH) agar moratorium automatik pinjaman dilaksanakan sehingga akhir tahun kecuali kumpulan T20 dan suntikan bantuan kewangan sebanyak RM45 bilion secepat mungkin untuk menyelamatkan pekerjaan, mata pencarian ekonomi dan perniagaan, perlu dipertimbang secara serius oleh kerajaan.
Dari RM45 bilion ini, sekurang-kurangnya RM35 bilion perlu diperuntukan untuk membantu perniagaan yang sedang bergelut dengan masalah terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
Sebanyak 98.5 peratus perniagaan di Malaysia adalah PKS dan hampir 1 juta PKS menyumbang 39 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2019.
Memandang ke depan, semua pihak tanpa melihat latar belakang, perlu bersama memainkan peranan dalam membina negara ini semula. Ketepikan soal pilihan raya. Mari fokus kepada kepentingan rakyat Malaysia. Mari mulakannya dengan mengadakan sidang Parlimen terlebih dahulu.