Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebagai mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu demi melindungi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mahu berkuasa mutlak.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, Majlis Presiden dari gabungan PKR, AMANAH dan DAP itu menegaskan Peguam Negara telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.
“Ia telah mengenepikan semangat Perlembagaan, dan memberi gambaran Peguam Negara telah mengenepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu,” katanya.
Kelmarin, Idrus dalam kenyataannya berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.
Abang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun itu berkata, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat berkenaan.
Jelasnya, hal tersebut selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri.
Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berpendapat kenyataan Idrus juga melanggar kebiasaan kerana Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”
“Jelas sekali, Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang
di-Pertuan Agong serta merahsiakannya, dan bukan mengumumkan pandangan beliau secara terbuka seperti yang telah dibuat ini.
“Maka kenyataan ini juga satu bentuk “pelanggaran kerahsiaan” (breach of confidentiality) di antara peguam dan anak guam,” tegas kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dibuat tiga pemimpin utama parti dalam PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Sehubungan itu, PH menegaskan Idrus mesti dipecat secepat mungkin kerana tidak layak untuk terus memegang jawatan yang disandangnya sejak 6 Mac tahun lalu itu.
“Dengan pelanggaran ini, beliau tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan Peguam Negara.
“Oleh itu, kenyataan Peguam Negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang
di-Pertuan Agong, dan beliau mesti dipecat segera,” kata kenyataan itu lagi.
Untuk rekod, Idrus, 66, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai Peguam Negara susulan Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan PH ditumbangkan pada 23 Februari 2020 oleh pemerintahan yang didominasi oleh parti Bersatu, Umno dan Pas yang kemudiannya dijenamakan sebagai PN.
Pelantikan Idrus untuk tempoh dua tahun itu menggantikan Tommy Thomas yang dilapor memendekkan perkhidmatannya pada 28 Februari 2020.