Selepas lebih sebulan kerajaan mengehadkan operasi perniagaan termasuk kedai makan di seluruh negara dari 8 pagi sehingga 8 malam sahaja, akhirnya mulai esok waktu itu berubah.
Premis kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi seawal jam 6 pagi sehingga jam 10 malam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan terbaharu itu dibuat selepas mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan.
“Setelah mengambil kira rayuan dan pandangan pengusaha kedai makan, sidang mesyuarat bersetuju untuk menukar waktu operasi premis yang menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam berkuat kuasa 28 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, premis makanan hanya dibenarkan beroperasi selama 12 jam, bermula 8 pagi hingga 8 malam.
Walau bagaimanapun, keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu mengundang kritikan apabila ramai peniaga kedai makan terjejas hasil pendapatan mereka.