Kesatuan Guru Sarawak tidak setuju pelajar ponteng PdPR digantung sekolah

Oleh KIM SYAZIE

Kesatuan Guru Sarawak (STU) tidak bersetuju dengan tindakan menggantung persekolahan pelajar yang tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut Presiden STU, Adam Prakash Abdullah, tindakan menggantung pelajar yang ponteng PdPR adalah bukan langkah terbaik bagi menarik minat pelajar untuk belajar.

Ini ditambah lagi katanya, proses PdPR amat membebankan serta memenatkan semua pihak khususnya kepada guru, pelajar termasuk ibu bapa.

“Bagi menjayakan PdPR, STU berharap komuniti dan masyarakat memberi sokongan dan motivasi kepada pelajar dan guru agar mereka dapat melaksanakan PdPR dengan tenang dan mencapai objektif pembelajaran.

“Untuk itu, STU juga memahami kesukaran yang dilalui murid dalam menyertai PdPR dan tindakan seperti menggantung sekolah pelajar yang tidak mengikuti PdPR tiga hari berturut-turut bukan satu usaha yang boleh meningkatkan minat murid untuk belajar,” jelasnya ketika mengulas saranan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggantung murid yang tidak mengikuti PdPR.

Tegasnya lagi, STU sangat menghargai keprihatinan bekas menteri tersebut dalam memastikan kejayan pelajar dalam pendidikan dan bersetuju dengan cadangan dan harapan yang telah beliau kongsikan

Justeru, Adam memohon supaya isu berkaitan pengurusan pendidikan diserahkan kepada KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terutamanya ketika era pandemik Covid-19 ini.

“STU percaya semua murid akan berusaha untuk mengikuti pelajaran dengan syarat mereka mempunyai infrastruktur pembelajaran yang kondusif.

“Malah, kita turut memohon agar semua pihak memberi sokongan kepada usaha menjayakan PdPR dan berhenti daripada membuat kenyataan yang tidak akan membantu pengurusan pendidikan,” ujar beliau.